Collector
Seludup 433 murai kampung ke Indonesia guna feri | Collector
Seludup 433 murai kampung ke Indonesia guna feri
Sinar Harian

Seludup 433 murai kampung ke Indonesia guna feri

KOTA TINGGI - Cubaan menyeludup 433 ekor burung murai kampung ke Indonesia melalui jalan laut gagal selepas penahanan sebuah feri penumpang di Kompleks Jeti Penumpang Tanjung Pengelih di sini pada Sabtu.Seramai enam lelaki Indonesia disyaki kru vesel terbabit ditahan kira-kira jam 4.30 petang hasil risikan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Selatan.Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama strategik Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas feri tersebut membawa kepada penemuan 16 bakul plastik yang telah diubah suai dan disembunyikan di dalam guni kanvas."Pemeriksaan mendapati kesemua bakul tersebut mengandungi 433 ekor burung murai kampung yang dipercayai cuba diseludup tanpa sebarang dokumen atau permit sah."Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM57,000 dan sitaan turut dibuat ke atas vesel terbabit dipercayai digunakan sebagai medium penyeludupan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan, permit import atau kebenaran berkaitan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.Jelasnya, turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah telefon bimbit dan pasport."Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Maqis dan JKDM untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan," katanya.Kata beliau, kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan pendekatan risikan serta tindakan bersepadu antara agensi penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan, khususnya melibatkan perairan Malaysia–Indonesia."Sebagai agensi peneraju, PSP akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan aktiviti penyeludupan hidupan liar dan jenayah rentas sempadan dapat dibanteras secara berkesan," katanya.Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Go to News Site