Sinar Harian
KOTA BHARU - Kes kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013 akan didengar semula pada Selasa ini.Perkara tersebut dikongsikan oleh Ali Hanafiah Mohamed yang merupakan salah seorang ahli keluarga terdekat kepada Allahyarham Wan Ahmad Faris menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad."Selasa, 14 April ini, akan berlangsung pendengaran penting bagi kes Allahyarham Wan Ahmad Faris di Mahkamah Tinggi Kota Bharu," tulis beliau.Menurut beliau, saman sivil oleh keluarga itu melibatkan tiga pihak utama iaitu Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara serta Pegawai Penyiasat kes."Mereka membantah saman ini atas alasan teknikal kononnya kes ini telah melepasi had masa. Adakah kes ini telah luput dari segi had masa?."Selasa ini, Mahkamah akan mendengar. Samada mahkamah akan menolak kes ini tanpa perbicaraan atau kes ini akan diteruskan ke perbicaraan penuh."Menolak tuntutan ini atas alasan teknikal had masa tanpa memberi ruang dan peluang perbicaraan penuh akan menyebabkan ketidakadilan yang serius?," katanya.Ali Hanafiah memberitahu, kes tersebut tidak wajar ditutup sebelum kebenaran didengar."Andai mahkamah menolak untuk dibicarakan?. Biasanya mahkamah akan perintahkan pihak keluarga membayar kos? berapa? keluarga kena gadai atau jual tanah."Setiap sedia, hormati keputusan mahkamah," katanya.Sinar Harian 20 Ogos tahun lalu melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.Beliau berkata, polis tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian kerana kertas siasatan kes pada 2013 itu adalah lengkap.Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ditemui mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas.Mayatnya dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas tersebut.Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah. Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.
Go to News Site