Collector
Mamat Khalid sumber inspirasi Bobby Husaini | Collector
Mamat Khalid sumber inspirasi Bobby Husaini
Sinar Harian

Mamat Khalid sumber inspirasi Bobby Husaini

DIKENALI sebagai pengarah iklan komersial yang berpengaruh, Bobby Husaini kini membuka lembaran baharu apabila tampil dengan filem sulung berjudul Libang Libu.Selepas lebih dua dekad dalam dunia komersial, anak kelahiran Ipoh, Perak itu melihat langkah ke layar perak sebagai perkembangan semula jadi dalam memperluaskan potensi kreatifnya."Saya memulakan kerjaya dalam bidang iklan sebagai penulis iklan. Selepas lebih 20 tahun, ini adalah waktu yang tepat untuk saya memperluaskan kemampuan ke tahap berbeza. Bagi saya, ini satu peralihan yang diimpikan oleh ramai pengarah iklan, dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya," katanya.Menariknya, Libang Libu turut memperlihatkan pengaruh Allahyarham Mamat Khalid, yang disifatkan sebagai sumber inspirasi utama dalam pembikinan naskhah ini, khususnya melalui latar masyarakat dan nuansa tempatan."Allahyarham Mamat Khalid ialah idola saya, namun itu bukan tiket untuk Libang Libu dibayangi karya-karya hebat beliau. Mungkin kerana saya menjalani penggambaran di Perak dan mengambil inspirasi daripada situasi masyarakat di sana, tetapi Libang Libu bukan sekadar filem komedi, sebaliknya gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kita."Mengapa Perak? Lokasi penggambaran ialah kampung saya, jadi secara tidak langsung filem ini sangat dekat dengan kehidupan awal saya ketika kecil," ujarnya.Selain itu, filem ini turut dibintangi Ameerul Affendi, Beto Kusyairi dan Nabila Huda, dengan fokus kepada penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat."Saya suka bekerja dalam suasana selesa, dan apabila pelakon mampu memberikan yang terbaik, ia memudahkan semua pihak. Jadi, setiap watak dalam Libang Libu ini penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton," ujarnya.

Go to News Site