Sinar Harian
SHAH ALAM - Kerajaan diminta segera merungkaikan kekeliruan berhubung dakwaan penghantaran 52.311 juta liter minyak diesel dari Malaysia ke Filipina.Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, jika dakwaan kerajaan Filipina mengenai perkara itu tidak tepat, kerajaan Malaysia perlu meminta perkara berkenaan diperbetulkan."Kerajaan Malaysia melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) kata diesel yang dihantar ke Filipina bukan dari negara ini manakala kerajaan Filipina melalui Jabatan Tenaga dan menteri sendiri mengesahkan bahawa 52.311 juta minyak diesel yang dihantar ke Filipina adalah dari Malaysia. Mana satu betul?"Saya mohon Kerajaan segera merungkaikan perkara ini. Sekiranya kenyataan kerajaan Filipina itu tidak tepat, kerajaan Malaysia perlu minta perkara tersebut dibetulkan," tegasnya dalam kenyataan Facebook pada Ahad.Terdahulu, media Filipina melaporkan kira-kira 329,000 tong, atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke Filipina sekali gus menambah bekalan bahan api negara itu ketika pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.Ketibaan terkini diesel yang diperoleh kerajaan itu menyusuli penghantaran pertama sebanyak 142,000 tong, atau 22.578 juta liter, dari Jepun pada 26 Mac lalu.Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Setiausaha Jabatan Tenaga (DOE), Sharon Garin, berkata ketibaan penghantaran kedua itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan bekalan domestik ketika ketegangan di rantau Asia Barat terus memuncak.Bagaimanapun, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan penglibatan syarikat itu dalam laporan penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia ke Filipina seperti yang dilaporkan.Mengulas lanjut, Radzi menyifatkan jumlah sumber tenaga yang didakwa dihantar ke negara jiran itu merupakan satu angka yang sangat besar dan tidak boleh dipandang remeh oleh pihak kerajaan."Dalam keadaan seluruh dunia cuba mendapatkan bekalan diesel, 52.311 juta liter itu amat bermakna untuk mana-mana negara sekalipun," ujarnya.
Go to News Site