Collector
'Silat Gayong' seni bela diri pertama terima pensijilan TVET | Collector
'Silat Gayong' seni bela diri pertama terima pensijilan TVET
Sinar Harian

'Silat Gayong' seni bela diri pertama terima pensijilan TVET

KOTA BHARU – Silat Gayong mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi seni bela diri pertama di negara ini menerima pensijilan rasmi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).Ketua Pengarah JPK Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Dr Kamaruzaman Md Ali berkata, pentauliahan tersebut diberikan kepada Institut Silat Seni Gayong (ISG) Malaysia bagi melaksanakan program Persijilan Kemahiran melalui mod Akademi Dalam Industri (ADI).Menurut beliau, program berkenaan membuka dimensi baharu dalam bidang seni bela diri apabila ia distrukturkan mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), sekali gus diiktiraf di peringkat kebangsaan."Ini adalah program pertama seumpamanya di Malaysia apabila seni bela diri dijajarkan dengan NOSS JPK dan dilaksanakan secara berstruktur bersama rakan industri."Melalui mod ADI, sebanyak 20 hingga 30 peratus latihan dijalankan di institusi, manakala 70 hingga 80 peratus lagi di industri," katanya kepada pemberita pada Ahad.Sebelum itu beliau merasmikan Majis Penyampaian Sijil Pentauliahan TVET Martial Arts di Institut Silat Seni Gayong (ISG) Utama di Kok Lanas di sini.Kamaruzaman memberitahu, ISG Malaysia akan mengendalikan latihan di institusi, manakala Amru Ventures bertindak sebagai rakan industri bagi melengkapkan komponen latihan praktikal.Ujarnya, fokus utama program berkenaan adalah dalam bidang seni bela diri khususnya Seni Silat Gayong Malaysia."Program ini juga mendapat kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berperanan sebagai rakan industri, termasuk menjadikan Briged Gayong Malaysia sebagai kokurikulum berkredit selama dua tahun."Sepanjang tempoh itu, pelajar akan menjalani latihan berstruktur yang merangkumi aspek kemahiran, pengetahuan dan sikap sebelum dianugerahkan sijil," katanya.Mengulas lanjut, beliau memberitahu sebelum ini tiada institusi latihan seni bela diri memohon untuk dipersijilkan di bawah NOSS JPK walaupun mempunyai struktur kurikulum tersendiri.Tambahnya, bukan kerana syarat ketat, tetapi pihaknya perlu menyusun semula struktur latihan supaya selari dengan standard pekerjaan yang menitikberatkan kompetensi."Kita hanya menilai empat perkara utama iaitu premis, tenaga pengajar, kurikulum serta peralatan latihan," katanya.Dalam pada itu, beliau memaklumkan program berkenaan ditawarkan pada tahap tiga dan empat di bawah kerangka TVET, dengan potensi diperluaskan sehingga tahap lima (diploma) dan seterusnya ke tahap enam hingga lapan pada masa hadapan.Menurutnya, pensijilan tersebut memberi nilai tambah kepada pelajar untuk menceburi pelbagai laluan kerjaya termasuk sebagai jurulatih profesional, tenaga pengajar atau meningkatkan peluang pekerjaan sedia ada."Ini membuka ruang kepada lebih banyak seni bela diri lain seperti taekwondo, karate dan sebagainya untuk turut serta, asalkan mereka menjajarkan struktur latihan dengan NOSS JPK."Kita harap pendedahan ini akan menggalakkan lebih banyak pihak tampil dan memanfaatkan peluang pensijilan TVET dalam bidang seni bela diri," katanya.Beliau turut menegaskan bahawa sijil yang dikeluarkan JPK mempunyai pengiktirafan rasmi di peringkat kebangsaan berbanding sijil persatuan yang terhad kepada organisasi masing-masing.Ujarnya, peserta akan memperoleh dua pengiktirafan iaitu daripada persatuan dan juga sijil JPK, sekali gus meningkatkan kredibiliti serta kebolehpasaran mereka.

Go to News Site