Sinar Harian
SUNGAI PETANI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membawa pandangan rakyat berhubung harapan agar kejohanan Piala Dunia 2026 dapat disiarkan untuk tontonan peminat bola sepak di negara ini.Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementerian mengambil maklum desakan serta pandangan masyarakat yang mahu siaran kejohanan berprestij itu dapat diakses di Malaysia.Bagaimanapun, menurutnya, urusan hak penyiaran bukan di bawah bidang kuasa KBS, sebaliknya melibatkan syarikat penyiaran, kementerian berkaitan serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)."Kita mendengar apa juga yang disuarakan peminat-peminat sukan, khususnya dalam negara kita. Pandangan ini akan saya sampaikan kepada kementerian berkaitan."Namun, KBS tidak mempunyai sebarang hak berkenaan penyiaran kerana perkara itu melibatkan syarikat penyiaran dan FIFA," katanya pada Penyerahan Kampung Angkat Madani di Kampung Padang Mahligai di sini pada Ahad.Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, Program Kampung Angkat Madani berkenaan memberi manfaat besar kepada hampir 100 keluarga apabila menerima peruntukan keseluruhan sekitar RM1.1 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan setempat.Beliau berkata, peruntukan RM1 juta bersama tambahan lebih RM100,000 itu digunakan bagi membina dewan serbaguna, menaik taraf jalan dan longkang, memasang lampu solar serta melaksanakan beberapa kemudahan lain untuk keselesaan penduduk.Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan selain merapatkan jurang kemudahan antara kawasan bandar dan desa.
Go to News Site