Collector
Warga emas maut dipijak gajah | Collector
Warga emas maut dipijak gajah
Sinar Harian

Warga emas maut dipijak gajah

LAHAD DATU - Seorang lelaki warga emas maut selepas diserang gajah ketika bersama anaknya di sebuah kebun kelapa sawit di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku di sini pada petang Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 69 tahun dilaporkan tidak sempat melarikan diri sebelum dipijak haiwan berkenaan, manakala anaknya berusia 38 tahun berjaya menyelamatkan diri sambil menjerit meminta pertolongan.Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menutup pagar kebun sebelum pulang."Hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati kejadian itu berlaku semasa dua orang lelaki anak beranak sedang menutup pagar kebun kerana ingin balik dari kebun kelapa sawit tersebut."Tiba-tiba mereka diserang seekor gajah dan mangsa tidak sempat melarikan diri lalu telah dipijak oleh gajah tersebut manakala anaknya sempat melarikan diri serta menjerit meminta tolong dan cuba mengalihkan perhatian gajah tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurutnya, gajah berkenaan dipercayai bergerak secara bersendirian sebelum beredar dari lokasi kejadian tidak lama kemudian."Gajah tersebut merupakan gajah tunggal dan tidak datang secara berkumpulan," katanya.Beliau berkata, sebaik haiwan itu beredar, anak mangsa segera mendapatkan bapanya dan membawa mangsa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor."Pemeriksaan awal pada mayat mangsa mendapati kecederaan patah tulang kaki betis dan tulang rusuk."Sehubungan itu, kes ini telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mana-mana individu yang melihat kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat penolong ketua polis balai Tungku di talian 017-8293359 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu," katanya.Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan Tungku agar sentiasa peka dan berhati-hati dengan kehadiran gajah liar di kawasan masing-masing.

Go to News Site