Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Hampir sedekad selepas keluar daripada perkahwinan yang disangkakan akan menamatkan episod hitam hidupnya, seorang wanita masih hidup dalam bayang ketakutan apabila identitinya didakwa terus digunakan untuk urusan hutang tanpa pengetahuannya.Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Naquiah, 30-an, berkata, perkahwinan yang dibina pada 2012 pada awalnya tampak seperti kehidupan biasa, namun segalanya berubah selepas mereka mula tinggal bersama.Menurutnya, lelaki itu memaklumkan perniagaannya hanya 'bermasalah sementara' tetapi hakikat sebenar terbongkar sedikit demi sedikit apabila beliau mendapati suaminya sebenarnya tidak bekerja dan pejabat yang dikatakan sudah pun ditutup."Pada masa itu saya masih cuba percaya dan membantu. Saya fikir itu tanggungjawab sebagai isteri," katanya.Namun, kepercayaan itu, katanya, perlahan-lahan memerangkap dirinya apabila nama beliau mula digunakan dalam pelbagai urusan kewangan.Naquiah mendakwa, syarikat didaftarkan atas namanya kerana suaminya disenarai hitam, selain akaun bank juga menggunakan butiran dirinya.Dalam keadaan tidak benar-benar memahami implikasi, beliau mengakui pernah menandatangani dokumen termasuk cek kosong, sesuatu yang akhirnya membawa kesan besar terhadap hidupnya."Ketika itu saya keliru dan tertekan. Saya hanya mahu membantu, tetapi akhirnya saya yang menanggung akibat," katanya.Beliau berkata, situasi tersebut menyebabkan kerugian RM20,000 hingga RM30,000, selain hampir disenarai hitam apabila cek yang ditandatangani digunakan tanpa wang mencukupi.Naquiah berkata, kemuncak tekanan berlaku apabila beliau diminta membuat pinjaman peribadi untuk menyelesaikan hutang bekas suaminya.Tekanan berterusan akhirnya memaksanya mengambil keputusan memfailkan perceraian pada 21 Disember 2015 sebelum sah berpisah sehari kemudian, dengan harapan dapat memulakan hidup baharu.Dibelenggu pengutip hutangNaquiah berkata, ketenangan yang dicari bagaimanapun tidak bertahan lama.Sekitar hujung tahun 2021, beliau menerima mesej mengenai kelulusan pinjaman RM90,000 atas namanya, sesuatu yang disifatkan sebagai mustahil kerana mereka sudah lama tidak berhubung."Saya ingatkan itu penipuan, saya cuba abaikan. Tapi beberapa bulan kemudian, mesej tunggakan pula masuk, kemudian bank sendiri hubungi saya."Apabila pihak bank hubungi saya untuk mencari dia, barulah saya sedar bahawa nombor telefon saya digunakan sebagai rujukan walaupun kami sudah lama bercerai," katanya.Sejak itu, katanya, hidupnya kembali dibayangi ketakutan apabila panggilan demi panggilan mula diterima, bukan sahaja daripada pihak bank tetapi juga individu yang mendakwa mahu mengutip hutang."Saya menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa mahu mencari bekas suami saya untuk kutip hutang."Apa yang mengejutkan apabila dia mengatakan nombor telefon saya baru sahaja diberikan, sedangkan kami sudah lapan tahun berpisah dan saya langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya," katanya.Menurut Naquiah, ada antara panggilan tersebut dibuat dengan nada keras dan mendesak, malah ada yang meninggikan suara apabila beliau cuba menjelaskan keadaan sebenar."Apabila saya cuba mempertahankan diri dan menjelaskan keadaan sebenar, dia meninggikan suara dan memarahi saya sehingga saya benar-benar berasa takut dan tertekan dengan situasi tersebut."Ada yang marah-marah, seolah-olah saya yang berhutang. Saya jadi takut setiap kali telefon berbunyi," katanya.Beliau berkata, gangguan yang pada awalnya berlaku sekali-sekala akhirnya menjadi hampir setiap hari sehingga menjejaskan emosi dan ketenteraman hidupnya.Keadaan itu memaksanya menukar nombor telefon bagi mengelakkan terus diganggu, namun kebimbangan tetap menghantui kerana beliau percaya maklumat peribadinya masih digunakan tanpa kebenaran.Dalam perkembangan terbaharu, Naquiah berkata, beliau menerima tuntutan daripada Tribunal Pengguna pada 9 April lalu melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan pakej umrah yang tidak dikenalinya."Saya langsung tidak tahu syarikat itu, tetapi nama saya ada. Saya rasa seolah-olah tidak pernah benar-benar bebas daripada perkara ini."Saya percaya nama serta dokumen saya masih digunakan tanpa kebenaran sehingga saya terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan orang lain," katanya.Menurutnya, laporan polis telah dibuat, namun setakat ini hanya laporan perlindungan dibuka kerana kekurangan bukti untuk siasatan lanjut."Saya cuma mahu hidup tenang tanpa perlu takut setiap kali telefon berbunyi atau menerima mesej daripada orang yang saya tidak kenal," katanya.
Go to News Site