Sinar Harian
SHAH ALAM - Kerajaan digesa bertindak tegas termasuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat dakwaan berhubung isu 329,000 tong diesel dari Malaysia tiba di Filipina.Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor berkata, dakwaan tersebut dilihat tidak masuk akal memandangkan Malaysia sendiri sedang berdepan kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada rakyat, khususnya golongan pesawah."Malaysia perlu bertindak tegas. Kerajaan kita kena saman kerajaan Filipina dan Jabatan Tenaga Filipina kerana membuat dakwaan sedemikian."Mereka tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia tidak masuk akal," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Ujar Khlir, kerajaan juga perlu tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat."Ketika ini, kerajaan perlu memberikan penerangan kepada rakyat. Selain itu, siasatan perlu dijalankan dan pihak yang membuat dakwaan tersebut perlu dipersoalkan semula," ujarnya.Menurut Khlir, adalah tidak logik untuk kerajaan menghantar bekalan diesel dalam jumlah besar ke luar negara sehingga berpotensi menjejaskan keperluan domestik."Kalau negara kita sendiri berdepan harga diesel yang mahal, takkan kita nak hantar ke luar. Ia seolah-olah membebankan rakyat sendiri, terutama pesawah yang sangat bergantung kepada bekalan diesel."Apa yang pasti, kita tidak boleh mengambil risiko sehingga menjejaskan rakyat sendiri. Ketika ini, lebih 200,000 petani bergantung kepada bekalan diesel."Tidak logik untuk kerajaan mengambil langkah yang boleh menjejaskan sumber makanan negara," kata beliau.
Go to News Site