Collector
'Saya akan tunai haji, apa akan berlaku jika belum buat wasiat?' | Collector
'Saya akan tunai haji, apa akan berlaku jika belum buat wasiat?'
Sinar Harian

'Saya akan tunai haji, apa akan berlaku jika belum buat wasiat?'

SOALAN:Saya bakal menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat. Sekiranya berlaku sesuatu kepada saya di Tanah Suci, apakah yang akan berlaku kepada harta saya jika saya tidak pernah membuat wasiat atau melantik pentadbir? Bagaimana pula proses pengurusan harta sekiranya kematian berlaku di Makkah?JAWAPAN:Saban tahun, menjelang musim haji, isu kepentingan membuat perancangan harta sering menjadi topik yang dibincangkan secara meluas.Namun begitu, masih ramai dalam kalangan bakal jemaah yang tidak benar-benar cakna dan mengambil ringan saranan diberikan.Perancangan harta sering dianggap tidak mendesak, sehinggalah berlaku sesuatu yang tidak dijangka, barulah timbul kesedaran tentang kepentingannya.Persoalan ini wajar diberi perhatian serius, khususnya dalam konteks pengurusan harta pusaka.Sekiranya berlaku kematian melibatkan jemaah haji di Tanah Suci, waris yang ditinggalkan perlu berhadapan dengan persoalan asas iaitu bagaimana harta si mati hendak diuruskan.Hakikatnya, setiap musim haji tetap ada jemaah yang meninggal dunia di Tanah Suci, termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia.Walaupun bilangannya tidak besar, ia cukup untuk menjadi peringatan bahawa perancangan harta adalah satu keperluan, bukan pilihan.Apa yang lebih membimbangkan ialah masih wujud tanggapan bahawa urusan harta pusaka akan selesai dengan sendirinya melalui faraid.Ramai beranggapan bahawa dengan hanya bergantung kepada hukum tersebut, segala urusan akan berjalan dengan mudah. Hakikatnya, perkara ini tidak berlaku dalam realiti.Hukum faraid merupakan kaedah pembahagian harta pusaka, bukan kaedah pengurusan harta. Ia hanya menetapkan siapakah waris yang berhak serta kadar bahagian yang diterima oleh setiap waris.Namun, sebelum pembahagian harta pusaka tersebut dapat dilaksanakan, harta ini perlu melalui proses pentadbiran yang sah di sisi undang-undang. Di sinilah kebanyakan kekeliruan mula timbul.Apabila seseorang itu meninggal dunia, harta yang ditinggalkan akan terbeku, mengakibatklan proses pembahagian harta pusaka ini biasanya akan mengambil masa yang agak panjang untuk ditadbir sebelum diagihkan kepada waris-waris yang berhak.Harta pusaka tersebut perlu dikumpulkan, dikenal pasti, disahkan dan diuruskan oleh seorang pentadbir atau wasi yang telah dilantik oleh waris-waris.Tanpa pelantikan pentadbir, waris tidak mempunyai kuasa untuk mengurus atau membahagikan harta tersebut, walaupun mereka adalah waris yang sah.Walaupun kita semua mengharapkan perjalanan yang selamat dan ibadah yang mabrur, realitinya kematian boleh berlaku di mana-mana, termasuk di Tanah Suci.Dalam keadaan ini, ketiadaan perancangan harta bukan sahaja menyukarkan waris-waris di tanah air, malah melibatkan prosedur tambahan yang lebih kompleks.Risiko menjadi lebih signifikan sekiranya jemaah haji ini tidak membuat sebarang perancangan harta dan tidak melantik pentadbir atau wasi yang dibuat sebelum berangkat menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.Waris-waris perlu memulakan proses pelantikan pentadbir melalui saluran perundangan di Mahkamah Tinggi Sivil, Amanah Raya Berhad atau Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian tertakluk kepada jenis dan nilaian harta.Proses ini lazimnya mengambil masa yang panjang, melibatkan kos yang tinggi serta memerlukan komitmen dan kerjasama semua waris bagi memastikan urusan pengurusan pusaka dapat dilaksanakan dengan lancar.Secara asasnya, sekiranya seorang warganegara Malaysia meninggal dunia di Makkah, urusan awal akan dikendalikan oleh pihak berkuasa di Arab Saudi bersama Lembaga Tabung Haji yang menyelaras hal ehwal jemaah Malaysia.Sijil kematian akan dikeluarkan di sana dan seterusnya perlu melalui proses pengesahan sebelum boleh digunakan bagi urusan pentadbiran pengurusan pusaka di Malaysia.Kematian tersebut akan dimaklumkan kepada waris, namun dari sudut pengurusan harta, keseluruhan proses tetap tertakluk kepada undang-undang di Malaysia.Waris-waris perlu memulakan permohonan pentadbiran pusaka mengikut prosedur yang telah ditetapkan.Dalam situasi tertentu, proses ini menjadi lebih panjang kerana melibatkan dokumen luar negara yang perlu disahkan dan diterjemahkan.Di sinilah kepentingan membuat perancangan harta sebelum berangkat menunaikan ibadah haji menjadi salah satu persediaaan asas yang wajar diutamakan.Pelantikan wasi atau pentadbir membolehkan seseorang individu yang dipercayai mengambil tindakan segera tanpa perlu menunggu proses pelantikan wasi oleh waris. Ini bukan sahaja mempercepatkan urusan, malah mengelakkan pertikaian yang tidak sepatutnya berlaku.Penyediaan dokumen perwarisan yang lengkap merupakan satu keperluan penting sebagai rujukan kepada pentadbir atau wasi yang dilantik bagi menguruskan pusaka si mati.Dokumen ini bukan sahaja memperincikan hasrat si mati, malah merangkumi pelantikan wasi, penulisan wasiat bagi bahagian satu pertiga serta instrumen lain seperti hibah atau hibah amanah.Dengan adanya dokumen yang jelas dan teratur, segala hasrat si mati dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus mengurangkan risiko pertikaian dalam kalangan waris.Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa wasiat tidak menggantikan faraid, sebaliknya berfungsi melengkapkan keseluruhan proses pengurusan harta pusaka.Berdasarkan pemerhatian saya, masih ramai dalam kalangan masyarakat kita beranggapan bahawa perancangan harta hanya perlu dilakukan oleh orang kaya dan berharta sahaja.Sedangkan realitinya, walaupun harta yang ditinggalkan tidak seberapa, namun tanpa perancangan yang jelas, ia tetap boleh menjadi punca pertikaian dan konflik keluarga yang berpanjangan tanpa kesudahan.Perancangan harta bukan sekadar soal dokumen, tetapi soal tanggungjawab.Ia adalah usaha untuk memastikan waris tidak terbeban dengan proses pengurusan pusaka yang rumit, tidak terperangkap dalam konflik yang berpanjangan, dan tidak kehilangan hak mereka hanya kerana kelewatan dalam pengurusan.Dengan adanya perancangan harta yang jelas serta pelantikan wasi, proses urus pusaka dapat dilaksanakan secara lebih sistematik serta mengurangkan kos serta meringankan beban emosi yang ditanggung oleh waris.Kesimpulannya, bagi bakal jemaah haji, penyediaan wasiat dan pelantikan wasi perlu dianggap sebagai sebahagian daripada persiapan asas sebelum berangkat.Ia bukan sekadar langkah tambahan, tetapi satu keperluan praktikal dalam memastikan pengurusan harta pusaka dapat diuruskan dengan teratur sekiranya berlaku kematian.Faraid menentukan pembahagian, tetapi wasiat menentukan sama ada pembahagian itu benar-benar dapat dilaksanakan."Perancangan yang jelas hari ini, mengelakkan pertikaian hari esok"*Dr. Anne Ismail ialah Pakar Perancangan Harta & Pengurusan Pusaka, Pengasas Pennawaris Sdn Bhd

Go to News Site