Sinar Harian
KOTA BHARU – Seorang peguam tampil menawarkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma kepada guru dan keluarga pelajar Tingkatan Satu yang terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa di hadapan surau Sekolah Menengah Tanjong Mas, di sini, pada Ahad.Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, tawaran itu dibuat atas dasar kemanusiaan dan keadilan bagi memastikan kebajikan serta hak semua pihak terbela sepanjang proses siasatan dan perundangan.Menurut beliau, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun jika disabitkan kesalahan."Sebagai pengamal undang-undang jenayah, saya melihat kes ini bukan sekadar dari sudut peruntukan undang-undang tetapi perlu dinilai dengan pertimbangan moral dan kemanusiaan."Kita perlu bezakan antara kecuaian yang berlaku secara tidak sengaja dengan jenayah yang mempunyai niat jahat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Beliau memberitahu bahawa pihaknya melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli menawarkan khidmat pro bono kepada guru terlibat serta keluarga mangsa.Jelasnya, bantuan itu merangkumi khidmat nasihat di peringkat awal siasatan sehingga kepada sebarang keputusan pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dan prosiding mahkamah jika ada pertuduhan."Tawaran ini bertujuan menjadi jambatan antara kedua-dua pihak agar tidak berlaku salah faham atau campur tangan pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan atas tragedi ini," ujarnya.Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa hukuman penjara tidak semestinya menjadi penyelesaian terbaik dalam semua kes kemalangan, khususnya yang berpunca daripada kecuaian sekali seumur hidup."Penjara sepatutnya untuk penjenayah tegar atau mereka yang mempunyai niat melakukan kesalahan."Dalam kes seperti ini, kita perlu melihat kepada konsep keadilan yang lebih menyeluruh termasuk pendekatan pemulihan (restorative justice)," katanya.Tambah beliau, masyarakat juga diseru agar tidak membuat penilaian melulu dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus tanpa dipengaruhi sentimen.Sebelum itu, Sinar Harian pada Ahad melaporkan bahawa seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di sebuah sekolah di sini pada Ahad.Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Go to News Site