Collector
Op Tiris 4.0: PDRM hanya fokus di sempadan, bukan semua stesen minyak | Collector
Op Tiris 4.0: PDRM hanya fokus di sempadan, bukan semua stesen minyak
Sinar Harian

Op Tiris 4.0: PDRM hanya fokus di sempadan, bukan semua stesen minyak

​KUALA TERENGGANU – Penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras ketirisan bahan api tidak melibatkan semua stesen minyak di seluruh negara, sebaliknya hanya tertumpu di kawasan pintu masuk sempadan dan lokasi berisiko tinggi.​Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah berkenaan merupakan strategi di bawah penguatkuasaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi mengekang aktiviti penyeludupan diesel dan petrol bersubsidi daripada dibawa lari ke negara jiran.Menurutnya, buat masa ini penugasan anggota PDRM difokuskan di pintu masuk utama negara yang bersempadan dengan Indonesia, Thailand dan Singapura.​"Memang ada cadangan (untuk perluasan penempatan), namun ketika ini anggota PDRM hanya difokuskan di kawasan sempadan sahaja memandangkan terdapat kekangan jumlah anggota untuk ditempatkan di setiap stesen minyak.​"Menerusi Op Tiris 4.0 yang sedang rancak berjalan ketika ini, sememangnya sudah ada anggota polis yang melakukan kawalan di sempadan darat serta perairan yang dikenal pasti sebagai 'laluan panas' ketirisan," katanya.​Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pematuhan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 di Stesen Minyak Petronas Jalan Tok Adis, di sini pada Isnin.​Kenyataan itu sekali gus menjelaskan kekeliruan orang ramai susulan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini mengenai cadangan penempatan anggota PDRM secara statik di stesen minyak.​Inisiatif yang diputuskan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu itu bertujuan memperkukuh pemantauan berikutan peningkatan risiko ketirisan bahan api susulan krisis tenaga global.​Dalam pada itu, mengulas mengenai isu bekalan diesel, Fuziah menegaskan tiada gangguan bekalan secara menyeluruh dilaporkan di seluruh negara, kecuali melibatkan beberapa kes terpencil.​"Hasil pemantauan mendapati stesen Petronas tidak mengalami sebarang gangguan bekalan. Masalah (kelewatan) hanya dikesan di stesen minyak lain yang menerima bekalan daripada syarikat asing.​"Selain kelewatan penghantaran, terdapat juga segelintir pengusaha berdepan kekangan modal akibat harga diesel yang tinggi. Bagaimanapun, secara keseluruhannya bekalan untuk kegunaan rakyat tempatan masih mencukupi," jelasnya.​Beliau turut menyentuh mengenai aduan teknikal membabitkan pam minyak yang gagal berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan meter berjalan walaupun minyak tidak keluar.​"Isu teknikal tersebut telah pun diperbetulkan serta-merta dan pihak pengusaha telah memulangkan semula bayaran kepada pengguna yang terjejas," katanya.​Sejak 20 Mac lalu, penguat kuasa KPDN telah mula ditempatkan secara berkala di stesen-stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memastikan hak rakyat Malaysia terus dilindungi daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Go to News Site