Sinar Harian
KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM11,007,104.04 melibatkan bahan api bersubsidi dan barangan kawalan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, rampasan tersebut adalah hasil daripada 13,759 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara bagi tempoh 16 Mac hingga 12 April lalu."Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 239 kes telah dikesan dengan tangkapan melibatkan seramai 68 individu."Antara komoditi utama yang dirampas ialah diesel sebanyak 865,205 liter, petrol (26,408 liter) dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 8,690 kilogram. Baki kes turut melibatkan barangan kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tepung gandum," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas tinjauan pematuhan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 di Petronas Tok Adis, di sini, pada Isnin.Mengulas mengenai penguatkuasaan di Terengganu, Fuziah memaklumkan bahawa sebanyak RM19,015,374.65 nilai rampasan telah direkodkan bagi tempoh 2023 hingga April 2026 membabitkan 92 kes."Bagi tahun ini sahaja (Januari hingga April), sebanyak 38 pemeriksaan telah dilaksanakan di Terengganu dengan lima kes direkodkan melibatkan nilai rampasan RM10,595."Data ini mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan secara lebih tersusun serta berimpak tinggi," jelasnya.Sehubungan itu, katanya, sebarang bentuk penyelewengan atau manipulasi dalam rantaian pengedaran bahan api tidak akan dikompromi dan tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122)."Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya."Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun. Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta hingga RM5 juta bagi kesalahan seterusnya," ujar beliau.Jelas beliau lagi, kerajaan menerusi KPDN kini memperkasa inisiatif KITA GEMPUR bagi membanteras manipulasi dan ketirisan melalui pendekatan whole-of-nation."KPDN menyeru kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan. Subsidi ini adalah hak rakyat dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan ia tidak disalahgunakan," katanya.Orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp di talian 019-848 8000 atau portal e-Aduan.
Go to News Site