Sinar Harian
PONTIAN – Seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah diberkas bersama rampasan syabu seberat 1.5 kilogram bernilai RM69,080 dalam Op Tapis pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 9.15 malam di tepi Jalan Kukup, Kampung Penerok.Beliau menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku selepas sepasukan anggota rondaan terserempak dengan sebuah kereta dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan."Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis syabu dipercayai methamphetamine dengan anggaran berat kasar 1,528 gram."Nilai rampasan dianggarkan RM69,080 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya dalam kenyataan.Menurutnya, suspek lelaki berusia 36 tahun yang tidak bekerja mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah."Siasatan awal mendapati lelaki itu berperanan sebagai penghantar yang menerima upah RM1,000 bagi menghantar bekalan dadah menggunakan perkhidmatan e-hailing."Suspek mengaku menerima arahan melalui telefon daripada seorang lelaki tempatan yang dikenalinya ketika berada di Penjara Simpang Renggam pada 2020."Suspek diarahkan mengambil bekalan dadah yang ditinggalkan dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di Perling sebelum menghantarnya ke lokasi ditetapkan," katanya.Difahamkan, suspek kemudian menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke lokasi berkenaan bagi mengambil bekalan tersebut.Sementara itu, wanita berusia 43 tahun yang merupakan pemandu e-hailing turut ditahan bagi membantu siasatan, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dipanggil semula untuk memberi keterangan.Mahkamah Majistret membenarkan permohonan reman terhadap suspek lelaki selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 April bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Go to News Site