Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kes ragut beg sandang seorang peniaga di Taman Mutiara Raya, Cheras di sini pada 4 April lalu.Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa yang mendakwa telah diragut oleh dua suspek menaiki motosikal di hadapan sebuah salun rambut."Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM2,000 wang tunai selain dokumen peribadi dan kad bank," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menjalankan beberapa serbuan berasingan di sekitar Cheras dan sebuah pusat beli-belah pada Khamis lalu sebelum menahan tiga suspek berusia antara 23 hingga 33 tahun.Rosdi berkata, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dengan jumlah rekod antara dua hingga 14 kes."Polis turut merampas sebuah motosikal, beberapa komponen kenderaan, telefon bimbit, topi keledar serta sejumlah wang tunai yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan," katanya.Menurutnya, siasatan awal mendapati dua daripada suspek terbabit menggunakan motosikal milik rakan mereka untuk melakukan jenayah ragut tersebut."Manakala hasil samun dipercayai dibahagikan untuk kegunaan harian serta pembelian dadah," katanya."Suspek telah direman bermula Jumaat hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Go to News Site