Sinar Harian
SHAH ALAM – Menjalinkan hubungan persahabatan sebelum memperdaya mangsa antara taktik digunakan sindiket love scam yang ditumpaskan dalam serbuan di sekitar Kajang baru-baru ini.Sindiket berkenaan yang mula beroperasi sejak Februari lalu itu turut dipercayai menyasarkan mangsa dari Indonesia dan Singapura.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi terakhir dijalankan pada 8 April lalu kira-kira jam 2.15 pagi oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang."Serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kiara Plaza, Semenyih yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan."Hasil serbuan tersebut, pihak polis berjaya menahan empat lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 37 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan love scam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.Beliau berkata, dalam serbuan sama, polis turut merampas empat unit komputer riba dan 11 telefon bimbit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,000."Kesemua suspek berperanan sebagai operator yang mencari mangsa melalui hantaran di akaun Telegram sebelum berkomunikasi lanjut menggunakan aplikasi WhatsApp," jelasnya.Shazeli Kahar berkata, suspek akan membina hubungan persahabatan atau percintaan dengan mangsa bagi mendapatkan kepercayaan sebelum menjalankan penipuan."Maklumat mangsa kemudiannya disalurkan kepada ahli sindiket lain untuk tujuan penerimaan wang kononnya melalui kiriman hadiah yang sebenarnya tidak wujud," katanya.Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan."Kesemua tangkapan kini direman bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Go to News Site