Collector
Inkues Zara Qairina: Elemen pakaian bantu siasatan forensik - Pakar Patologi | Collector
Inkues Zara Qairina: Elemen pakaian bantu siasatan forensik - Pakar Patologi
Sinar Harian

Inkues Zara Qairina: Elemen pakaian bantu siasatan forensik - Pakar Patologi

KOTA KINABALU – Saksi ke-68 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pakaian merupakan antara elemen yang boleh membantu siasatan forensik kerana ia boleh mengesan kesan pergelutan atau impak ketika mangsa jatuh.Pakar patologi forensik, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh, 74, berkata, pemeriksaan terhadap pakaian boleh memberikan petunjuk awal terhadap jenis kecederaan yang dialami mangsa berdasarkan kesan fizikal yang ditinggalkan."Kerana melalui pakaian, kita dapat melihat sekiranya terdapat koyakan lain, kesan pergelutan atau sebarang tanda yang menunjukkan impak di tempat mangsa jatuh," katanya menjawab soalan peguam Nurul Rafeeqahn Abdul Mutolip di mahkamah.Beliau berkata, dalam kes melibatkan jatuhan dari tempat tinggi, pakaian juga boleh membantu mengaitkan lokasi dan permukaan impak yang menyebabkan kecederaan pada tubuh mangsa."Dalam kes ini, jika kita melihat mangsa terbaring di tepi longkang, kita boleh mengaitkan kecederaan di belakang badan dengan permukaan longkang yang kasar itu. Ia boleh menyebabkan luka lecet (abrasion), lebam dan sebagainya."Jika pakaian masih ada, akan terdapat kesan atau koyakan pada pakaian tersebut," katanya.Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai ketiadaan pakaian yang diserahkan kepadanya dalam kes tersebut, beliau menjelaskan bahawa ia tidak menjejaskan analisis forensik kerana hanya bersifat bantuan tambahan."Tidak, kerana pakaian hanyalah bantuan tambahan. Dengan melihat gambar-gambar kecederaan pada tubuh mangsa, gambar itu menunjukkan kecederaan pada belakang dan dada adalah hasil daripada jatuh ke atas tepi permukaan longkang yang kasar, yang mungkin mengandungi batu-batu kecil atau zarah pasir."Jadi, pakaian dalam kes ini membantu, tetapi ketiadaannya bukan penghalang untuk menentukan punca kecederaan," jelasnya.Dalam prosiding sama, beliau turut memaklumkan bahawa kebanyakan elemen penting siasatan forensik lengkap diterima, kecuali rekod perubatan hospital yang tidak diperoleh."Kebanyakan perkara lain tersedia. Satu-satunya perkara yang saya tidak dapat peroleh ialah rekod perubatan daripada pihak hospital. Selain itu, semuanya lengkap," katanya.Sementara itu, Dr. Bhupinder ketika menjawab soalan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan berpendapat bahawa video pembinaan semula kejadian yang dilakukan menggunakan patung mannequin tidak konsisten dengan kecederaan yang dilihat pada tubuh mangsa."Sepatutnya menggunakan beban yang berkadar dengan berat sebenar individu tersebut. Mannequin yang digunakan dalam video itu terlalu ringan."Walaupun diikat pemberat pada pinggangnya, ia tetap tidak banyak membantu. Ia mestilah satu set berat badan yang lengkap," katanya.Ditanya lanjut berdasarkan pengalamannya mengenai kaedah yang lebih sesuai, beliau mencadangkan penggunaan bahan yang lebih menyerupai berat badan sebenar mangsa."Saya fikir adalah dengan menggunakan guni dan memasukkan zarah pasir ke dalamnya mengikut berat badan sebenar."Kemudian kita lihat bagaimana mangsa ditolak, atau jatuh secara lurus, atau melompat. Itu akan menunjukkan di mana mangsa mendarat dengan lebih tepat," katanya.Sebelum itu, beliau merupakan saksi yang dikemukakan oleh pasukan peguam mewakili Pelajar A, iaitu salah seorang daripada lima remaja yang dituduh berkaitan kes tersebut, untuk membantu dalam inkues ini.Barisan peguam tersebut terdiri daripada Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat pelajar lain diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.Dalam inkues ini juga, ibu Zara Qairina, iaitu Noraidah Lamat, turut diwakili barisan peguam yang terdiri daripada Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M. Borhan, Mohd. Syarulnizam Mohd. Salleh, Mohd. Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.Sementara itu, peguam yang mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd. Hashim ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa dan Clarice Vyonne Conrad.Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan dan Dacia Jane Romanus.Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.

Go to News Site