Sinar Harian
SABAK BERNAM - Seorang remaja lelaki yang cedera selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum petrol dibawanya terbakar dan menyambar badan di Kilometer 48 Jalan Persekutuan di sini petang Ahad, kini dilaporkan stabil.Ibu mangsa, Ruzita Mohd Shahrani, 45, berkata, anaknya, Muhammad Iman Shah Mat Said, 19, sudah sedar dan berada dalam keadaan baik selepas dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.Menurutnya, mangsa dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam ke HKL kira-kira jam 6 petang hari sama."Anak dah sedar dan keadaannya bertambah baik, paling penting saya bersyukur dia selamat dalam kejadian ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Menurut Ruzita, anak ketiga daripada empat beradik itu turut menjalani prosedur pembedahan melibatkan rawatan plastik bagi merawat kesan melecur di beberapa bahagian badan.Katanya, kecederaan dialami tertumpu pada bahagian paha dan betis kanan selain sedikit kecederaan pada muka."Doktor maklumkan tempoh rawatan bergantung kepada keadaan, namun paling cepat mungkin seminggu dan boleh mencecah hingga sebulan," jelasnya.Menurutnya, anaknya ketika ini sedang mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran elektrik di sebuah pusat latihan dan baharu sahaja menamatkan latihan praktikal.Mengulas lanjut, katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika anak lelakinya itu keluar membeli petrol dipercayai untuk kegunaan motosikalnya sebelum kemalangan berlaku dalam perjalanan pulang ke rumah.Ruzita berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang anaknya yang lain selepas menerima panggilan daripada rakan mangsa."Paling penting anak saya selamat walaupun masih trauma dan enggan menunggang motosikal buat sementara waktu," tambahnya.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang penunggang motosikal cedera selepas hilang kawalan sebelum petrol dibawanya terbakar dan menyambar badan dalam kejadian berkenaan.Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang melanggar penutup lubang konkrit di bahu kiri jalan sebelum terjatuh.Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa membuat pusingan U di Pekan Sungai Besar selepas keluar dari sebuah stesen minyak sebelum hilang kawalan ketika menghala ke Klang untuk pulang ke rumah."Botol plastik berisi petrol yang dibawa mangsa terbakar ketika motosikal terseret di atas jalan sebelum api menyambar bahagian badan dan paha mangsa," tambah beliau.
Go to News Site