Sinar Harian
SHAH ALAM - Seramai 41 peratus pekerja di Malaysia mengalami keletihan atau ‘burnout’ walaupun 70 peratus dilaporkan berasa gembira di tempat kerja, menurut dapatan Indeks Kebahagiaan Tempat Kerja daripada Jobstreet by SEEK.Pengarah Urusannya, Nicholas Lam berkata, hanya 36 peratus pekerja berpuas hati dengan tahap tekanan yang dihadapi di tempat kerja manakala 41 peratus mengakui mengalami keletihan atau kepenatan."Keletihan ini berkait rapat dengan tahap ketidakpuasan kerja di mana pekerja yang tidak gembira dua kali ganda lebih cenderung mengalaminya berbanding mereka yang gembira."Dalam kalangan pekerja yang tidak gembira, 71 peratus menyatakan keseimbangan kerja dan kehidupan lebih baik boleh meningkatkan kebahagiaan mereka selepas faktor gaji sekali gus menunjukkan keletihan yang tidak diurus boleh menjejaskan produktiviti jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Indeks berkenaan dibangunkan berdasarkan maklum balas kira-kira 1,000 responden berumur antara 18 hingga 64 tahun yang sedang bekerja di Malaysia.Kajian itu memberi gambaran menyeluruh mengenai persepsi pekerja terhadap pekerjaan mereka sekali gus menjadi rujukan kepada majikan, pengurus sumber manusia dan pembuat dasar dalam mewujudkan persekitaran kerja lebih produktif.Dapatan tersebut diperoleh ketika pasaran buruh negara kekal kukuh dengan peluang pekerjaan stabil serta kadar pengangguran rendah.Namun, tiga daripada 10 pekerja masih berasa tidak gembira atau neutral terhadap pekerjaan mereka, menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.Tambah beliau, tahap kebahagiaan di tempat kerja berbeza mengikut generasi, dengan pekerja Gen Z dilaporkan kurang gembira dan lebih tertekan berbanding generasi lain susulan cabaran awal kerjaya, pembangunan kemahiran serta keperluan membuktikan diri."Mereka juga lebih cenderung menyatakan pengurangan tekanan boleh meningkatkan kebahagiaan iaitu 40 peratus berbanding 35 peratus dalam kalangan milenial dan 27 peratus bagi Gen X."Dari sudut sektor, industri Perkhidmatan Profesional dan Pembinaan mencatat tahap kebahagiaan tertinggi iaitu 78 peratus manakala sektor awam 62 peratus, industri 61 peratus serta runcit, hospitaliti dan sukan 55 peratus, mencerminkan cabaran dari segi beban kerja, pengiktirafan mahupun fleksibiliti," katanya.Beliau berkata, bagaimanapun kira-kira 70 peratus pekerja di Malaysia dilaporkan berasa gembira di tempat kerja walaupun tekanan dan keletihan kerja kekal sebagai cabaran utama yang menjejaskan kesejahteraan serta produktiviti."Tidak ramai yang benar-benar selesa dengan tekanan kerja yang dihadapi walaupun majoriti merasakan diri mereka dihargai."Sebanyak 68 peratus pula menganggap pekerjaan mereka memberi kepuasan terhadap kerja masing-masing," katanya.Menurutnya, kebahagiaan di tempat kerja dalam kalangan pekerja di Malaysia banyak dipengaruhi oleh aspek asas harian."Antara faktor utama ialah lokasi tempat kerja sebanyak 69 peratus, rakan sekerja 65 peratus dan tugasan harian 65 peratus."Rutin kerja yang jelas, hubungan kerja baik serta tanggungjawab bermakna membantu mewujudkan rasa kawalan dan pemilikan terhadap pekerjaan," katanya.Nicholas berpandangan, walaupun 70 peratus pekerja berasa gembira, makna dalam pekerjaan lebih mempengaruhi kebahagiaan berbanding gaji."Analisis Jobstreet by SEEK mendapati rasa tujuan mempunyai kaitan yang kuat dengan tahap kebahagiaan di tempat kerja merentasi semua pasaran yang dikaji. Di Malaysia, 64 peratus pekerja berpuas hati dengan makna diperoleh daripada pekerjaan masing-masing."Walaupun gaji kompetitif penting untuk menarik dan mengekalkan bakat, kebahagiaan lebih mudah dicapai apabila pekerja merasakan tugas mereka memberi impak. Kebahagiaan di tempat kerja juga merupakan tanggungjawab bersama antara majikan dan pekerja," jelasnya.Tambahnya, bagi meningkatkan kebahagiaan di tempat kerja, Jobstreet by SEEK mencadangkan tiga pendekatan utama kepada majikan."Antara langkah utama ialah memperkukuh rasa tujuan dalam kerja dengan mengaitkan tugasan harian pekerja kepada misi dan nilai organisasi serta membina budaya kerja yang positif dan menyokong."Selain itu, majikan perlu memahami keperluan generasi berbeza bagi membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan motivasi pekerja," katanya.
Go to News Site