Sinar Harian
SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) melantik semula Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang sekiranya Ahli Parlimen Larut itu diterima menyertai Pas.Beliau menegaskan, jawatan penting berkenaan bukan hak peribadi mana-mana pihak, sebaliknya ditentukan melalui kesepakatan dalam gabungan."Dalam konteks ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini memegang jawatan tersebut atas kapasiti beliau dalam Bersatu."Apabila berlaku pemecatan, secara prinsipnya kedudukan itu sudah berubah. Jika ada andaian beliau menyertai Pas dan dilantik semula Ketua Pembangkang, itu terpulang kepada kebijaksanaan pimpinan gabungan."Namun, bagi saya yang lebih penting ialah konsistensi kepimpinan dan kejelasan pendirian, kerana rakyat hari ini bukan sekadar melihat siapa pegang jawatan tetapi sejauh mana seseorang itu stabil dan boleh dipercayai dalam membawa suara pembangkang," katanya menerusi kenyataan di media sosial.Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin berkata, partinya terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menjadi ahli termasuk Hamzah.Namun katanya, bekas Timbalan Presiden Bersatu itu perlu memohon sebagai ahli terlebih dahulu sekiranya mahu menyertai parti berkenaan.Sementara itu, menyentuh mengenai kemungkinan Hamzah diterima sebagai ahli Pas, Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu berkata, beliau menghormati apa sahaja keputusan parti lain dalam menentukan keahlian."Bagi saya, yang penting bukan soal individu semata-mata, tetapi kesetiaan kepada perjuangan dan prinsip. Rakyat hari ini lebih menilai keikhlasan, bukan sekadar perpindahan parti," katanya.
Go to News Site