Collector
Gading Kelat di Jepun dipotong atas pernilaian klinikal veterinar - Perhilitan | Collector
Gading Kelat di Jepun dipotong atas pernilaian klinikal veterinar - Perhilitan
Sinar Harian

Gading Kelat di Jepun dipotong atas pernilaian klinikal veterinar - Perhilitan

SHAH ALAM - Tindakan pemotongan gading terhadap seekor gajah Asia bernama Kelat di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun adalah sebahagian daripada prosedur pengurusan veterinar berasaskan penilaian klinikal yang mengutamakan kebajikan haiwan itu.Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan orang awam, selain sentiasa terbuka menerima pandangan masyarakat berhubung kebajikan tiga ekor gajah Asia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang ditempatkan di Jepun."Berhubung isu tular melibatkan rawatan gading terhadap Kelat, tindakan tersebut merupakan prosedur pengurusan veterinar yang dilaksanakan berdasarkan penilaian klinikal dan pengurusan konservasi oleh pakar dengan memberi keutamaan terhadap kebajikan Kelat."Kerosakan gading Kelat telah dikenal pasti pada sebelah kiri, manakala pemotongan gading (tusk trimming) pada sebelah kanan dilakukan sebagai langkah pengimbangan (balancing)," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.Perhilitan memaklumkan, ia bagi mengelakkan ketidakseimbangan struktur yang boleh memberi tekanan kepada kepala dan rahang.Jabatan terbabit berkata, ketidakseimbangan berpotensi menyebabkan ketidakselesaan, meningkatkan risiko kecederaan serta menjejaskan tingkah laku semula jadi seperti pergerakan, pemakanan dan interaksi sosial."Justeru, langkah rawatan dan pencegahan itu dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan serta kualiti hidup jangka panjang Kelat," ujarnya.Perhilitan turut menegaskan bahawa semua tindakan yang diambil adalah selaras dengan amalan kebajikan haiwan dan piawaian veterinar yang diiktiraf.Tambahnya, prosedur tersebut dilaksanakan secara terkawal dengan pendekatan yang meminimumkan tekanan fisiologi terhadap haiwan, selain pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan pemulihan optimum.Dalam masa sama, Perhilitan bekerjasama dengan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) serta Zoo Tennoji dalam memantau keadaan Kelat, Dara dan Amoi agar kebajikan gajah berkenaan sentiasa terpelihara.

Go to News Site