Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil menggesa Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim mengemukakan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai rantaian bekalan minyak negara.Fahmi berkata, dakwaan Dr Azman yang mengatakan minyak negara tidak melalui Selat Hormuz adalah tidak tepat dan merupakan satu tuduhan yang tidak berasas terhadap kerajaan.Menurut beliau, fakta menunjukkan kira-kira 46 peratus minyak yang diproses oleh Petronas sebenarnya melalui laluan strategik antarabangsa tersebut."Saya menuntut Dr Azman memohon maaf atas tuduhan tersebut kepada kerajaan," katanya ketika berucap pada Mini Konvensyen PKR di sini pada Isnin.Majlis tersebut turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.Terdahulu, Dr Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dilaporkan mempertahankan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu kenaikan harga minyak yang didakwa tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mempunyai sumber petroleum sendiri.Menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya, Dr Azman menegaskan rantaian bekalan minyak negara tidak bergantung sepenuhnya kepada laluan antarabangsa."Di perairan Terengganu sahaja terdapat kira-kira 120 pelantar minyak yang sedang beroperasi. Minyak mentah akan disalurkan ke Loji Penapisan Minyak Petronas di Kerteh melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki untuk diproses menjadi produk kegunaan negara."Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak? Saya ulang! Minyak kita tak lalu Selat Hormuz!" katanya.Mengulas lanjut, Fahmi mengingatkan semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan atau mengeluarkan kenyataan terhadap Petronas tanpa merujuk kepada fakta yang tepat.Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tanggungjawab mempertahankan kerajaan bukan terletak di bahu Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya perlu dipikul oleh semua anggota parti."Saya bangga dengan kehadiran ahli PKR yang menunjukkan sokongan kepada gerakan reformasi."Walaupun kita tewas 30-0 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, itu menjadi titik penting untuk kita terus bekerja keras bagi menghadapi PRU16 nanti," katanya lagi.
Go to News Site