Collector
12 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Laut | Collector
12 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Laut
Sinar Harian

12 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Laut

KLANG – Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam operasi bersepadu Op Ehsan dan Op Khas Tanjung 2 di pesisir pantai Batu Laut, di sini, pada Ahad.Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan yang membawa kepada tindakan pantas menggerakkan Bot Pengawal 25 ke lokasi."Operasi tersebut melibatkan kejar buru di laut sebelum serbuan serentak dijalankan di darat dan perairan bagi mengekang cubaan kemasukan PATI melalui laluan tidak sah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar, dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar, tiga wanita warga Indonesia, tiga wanita warga Myanmar serta seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar, berusia antara tiga hingga 39 tahun."Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah."Turut dirampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan oleh tekong darat," katanya.Menurutnya, kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Go to News Site