Sinar Harian
IPOH – Penglibatan wanita muslimah dalam misi kemanusiaan seperti Sumud 2.0 tidak bersifat wajib sebaliknya tertakluk kepada syarat tertentu yang menepati garis panduan syarak.Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Prof. Madya Dr Azmil Zainal Abidin berkata, Islam sememangnya tidak menghalang wanita untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan termasuk menyatakan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin namun ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta berpandukan hukum agama.Menurutnya, semangat membantu saudara seagama yang ditindas wajar dipuji, lebih-lebih lagi apabila ia turut melibatkan golongan selebriti yang mampu mempengaruhi masyarakat ke arah kesedaran isu ummah."Islam amat menitikberatkan kehormatan wanita. Justeru, sepanjang berada dalam misi, maruah diri perlu dipelihara pada tahap tertinggi."Namun, idealisme murni ini perlu diseimbangkan dengan panduan syarak agar tidak membuka ruang kepada fitnah, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan maruah wanita muslimah," katanya dalam satu artikel dikongsi Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin.Azmil berkata, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah jaminan keselamatan peserta wanita serta keutamaan terhadap tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan.Katanya, wanita muslimah yang menyertai misi sebegini perlu memastikan aspek pemeliharaan aurat dan batas pergaulan dengan lelaki ajnabi sentiasa dijaga.Dalam pada itu, Azmil menjelaskan bahawa Islam menetapkan perbezaan tanggungjawab antara lelaki dan wanita berdasarkan fitrah kejadian masing-masing.Menurutnya, jihad dalam konteks wanita juga berbeza apabila Islam tidak mewajibkan mereka terlibat dalam peperangan, sebaliknya ibadah seperti haji dan umrah dianggap sebagai bentuk jihad yang sesuai dengan fitrah mereka.Tambahnya, wanita juga mempunyai peluang besar untuk mencapai ganjaran syurga sekiranya menunaikan tanggungjawab asas seperti solat, berpuasa, menjaga kehormatan diri dan mentaati suami.Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyertaan wanita dalam misi Sumud 2.0 adalah harus, bukannya wajib, dengan syarat-syarat tertentu dipenuhi."Wanita muslimah yang ingin menyertainya perlu memastikan jaminan keselamatan, mematuhi batas hukum syariat serta mempunyai peranan yang jelas dan bermanfaat."Wanita muslimah yang telah berkeluarga pula perlu meminta izin suami lantaran tugas utama mereka adalah sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Jika tugas asasi ini gagal disempurnakan, bagaimana kebajikan dapat dilakukan di luar lingkungan keluarganya?" katanya.Beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengambil pengajaran daripada sejarah Islam yang memartabatkan wanita, termasuk kisah Khalifah al-Mu’tasim yang bertindak mempertahankan maruah seorang wanita muslimah yang dizalimi.Katanya, sejarah juga membuktikan wanita mempunyai peranan besar dalam masyarakat seperti tokoh perubatan Islam, Rufaidah binti Sa’ad al-Aslamiyyah yang menjadi pelopor dalam bidang kejururawatan dan misi kemanusiaan.Jelasnya, garis panduan yang ditetapkan Islam bukanlah bertujuan menyekat kebebasan wanita, sebaliknya untuk menjaga kemaslahatan mereka selaras dengan fitrah kejadian.Beliau berkata, dalam menghadapi cabaran semasa, pendekatan fiqh al-ma’alat dan fiqh al-awlawiyyat perlu diberi perhatian agar setiap keputusan dibuat secara bijaksana dan berlandaskan keutamaan.
Go to News Site