Sinar Harian
SHAH ALAM - Seorang wanita mendakwa diperdaya syarikat pelancongan disyaki didalangi individu berimejkan keagamaan.Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Qistina, 42, berkata, dia membuat bayaran lebih RM400 kepada syarikat itu pada Mei tahun lalu selepas melihat iklan harga murah di Threads bagi tempahan sebuah hotel di Kuala Lumpur serta Desaru."Urusan awal pembayaran bagi penginapan hotel dua hari satu malam dibuat kepada seorang kakitangan syarikat terbabit."Tapi bila hendak sahkan tempahan, dia beri bermacam-macam alasan. Setiap kali saya hubungi, kakitangan itu akan beritahu ada orang lain yang uruskan pula," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.Qistina berkata, sehingga hari ini selepas hampir setahun, mesej WhatsApp bagi mendapatkan semula bayaran masih tidak berbalas.Menurutnya, selepas berkongsi pengalaman di media sosial, dia terkejut apabila ramai tampil memaklumkan mereka turut menjadi mangsa kepada syarikat sama."Saya kongsikan kejadian ini di media sosial. Rupanya ramai yang beri komen turut jadi mangsa syarikat sama," katanya yang merupakan seorang pekerja syarikat swasta.Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nurain, 35, turut mendakwa ditipu lebih RM500 oleh syarikat sama bagi penginapan di sebuah hotel mewah di Pulau Pinang.Nurain berkata, dia tertarik dengan tawaran harga murah bagi penginapan lima hari empat malam sebelum membuat bayaran pada Januari 2025 selepas berhubung dengan seorang kakitangan wanita syarikat berkenaan."Staf itu bagaimanapun beritahu dia sudah tidak uruskan tempahan itu dan meminta saya berurusan dengan seorang staf lelaki," katanya.Menurutnya, kekecewaan memuncak apabila ketika mahu mendaftar masuk pada 7 November 2025, pihak hotel memaklumkan nombor tempahan yang diberikan tidak sah dan telah dibatalkan beberapa hari sebelum itu."Saya amat sedih kerana menjadi mangsa penipuan ini, lebih-lebih lagi kerana sudah berjanji dengan anak-anak untuk bercuti," katanya.Nurain berkata, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang pemulangan wang walaupun telah beberapa kali cuba menghubungi syarikat berkenaan menerusi WhatsApp."Saya lihat di media sosial, rupanya ramai sudah jadi mangsa syarikat sama," katanya.Tinjauan Sinar Harian di media sosial turut mendapati isu melibatkan syarikat berkenaan menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna dengan beberapa individu mendakwa syarikat itu menggunakan nama berbeza apabila mula mendapat perhatian.Malah, terdapat juga dakwaan daripada individu yang pernah mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut bahawa individu terlibat sebelum ini dikenali dalam lingkungan tertentu berkaitan aktiviti keagamaan.
Go to News Site