Sinar Harian
SHAH ALAM – Seorang lelaki menggunakan helah meminjam telefon bimbit dengan alasan untuk membuat semakan pekerja sebelum melarikan peranti milik mangsa dalam kejadian di Setia Alam, di sini pada Ahad.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.03 petang, 12 April lalu.Menurut beliau, mangsa merupakan seorang pekerja wanita berusia lingkungan 20-an di sebuah premis makanan di sebuah pasar raya."Mangsa memaklumkan telefon bimbit miliknya telah dilarikan oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berada di tempat kerjanya."Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek datang ke premis dan bertanyakan beberapa soalan kononnya ingin membuat semakan pekerja di cawangan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, dalam masa sama, suspek meminta untuk meminjam telefon bimbit mangsa bagi tujuan membuat catatan."Pengadu yang tidak mengesyaki apa-apa telah menyerahkan telefon tersebut sebelum suspek bertindak melarikan diri bersama peranti berkenaan."Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Shah Alam bagi mengesan dan menangkap suspek," katanya.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Syahir Qayyum Ariff di talian 011-16621816 atau IPD Shah Alam di 03-55202222 bagi membantu siasatan.Terdahulu, tular hantaran di media sosial berkaitan seorang wanita didakwa menjadi mangsa pukau sebelum telefon bimbit miliknya dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pasar raya di Setia Alam, di sini.Menerusi hantaran berkenaan, individu terbabit mendakwa mangsa dipukau oleh seorang lelaki tempatan yang dipercayai memperdayakan mangsa untuk menyerahkan telefon bimbit.Menurutnya, suspek kemudian bertindak membuka kunci telefon menggunakan ciri pengecaman wajah sebelum mengakses aplikasi nota yang didakwa mengandungi pelbagai kata laluan penting termasuk perbankan.
Go to News Site