Sinar Harian
PENGENDALI sementara Manchester United, Michael Carrick meluahkan rasa berang terhadap mutu pengadilan Paul Tierney susulan layangan kad merah ke atas Lisandro Martinez dalam kekalahan 1-2 kepada Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).Martinez diarahkan keluar padang pada separuh masa kedua di Old Trafford selepas didakwa menarik rambut penyerang Leeds, Dominic Calvert-Lewin.Tierney pada mulanya tidak memberikan apa-apa hukuman, namun mengubah keputusan kepada kad merah selepas dinasihatkan oleh pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk menyemak monitor di tepi padang.Ketika insiden itu berlaku, United sedang ketinggalan menerusi dua gol jaringan Noah Okafor pada babak pertama. Walaupun Casemiro berjaya merapatkan jurang, ia belum cukup untuk mengelakkan kekalahan kedua United di bawah kendalian Carrick dalam 11 perlawanan."Saya fikir pemain telah memberikan yang terbaik dan kekal positif untuk bangkit, namun sekali lagi kami dihukum dengan keputusan mengejutkan membabitkan Lisandro (Martinez)."Dua perlawanan berturut-turut kami berdepan keputusan yang tidak menyebelahi kami, tetapi yang ini (kad merah) adalah antara yang paling teruk pernah saya lihat," kata Carrick.Carrick mempertahankan pertahanannya dengan mendakwa reaksi Martinez berpunca daripada provokasi awal Calvert-Lewin."Lawan (Calvert-Lewin) menghayunkan lengan ke muka Martinez sehingga dia hilang imbangan. Ketika bergelut, dia seolah-olah menyentuh bahagian belakang rambut lawan sehingga pengikat rambutnya tertanggal."Ia bukan tarikan yang agresif. Dia hanya menyentuhnya dan terus dibuang padang. Lebih mengecewakan, pengadil diarahkan menyemak semula keputusan asal yang kononnya 'kesilapan nyata'. Ini sangat mengejutkan," ujarnya.Martinez kini berdepan penggantungan tiga perlawanan dan Carrick membayangkan kelab mungkin akan mengemukakan rayuan terhadap kad merah tersebut.Selain itu, Carrick turut mempersoalkan integriti pengadil yang tidak membatalkan gol pertama Leeds meskipun mendakwa Leny Yoro dikasari terlebih dahulu oleh Calvert-Lewin dalam proses jaringan tersebut."Kami dibolosi apabila Leny Yoro menerima terjahan lengan di belakang kepala, namun mereka (VAR) tidak mahu mengubah keputusan itu. Ia adalah detik besar dalam perlawanan," katanya lagi.Kekalahan itu bagaimanapun menyaksikan United kekal di tangga ketiga liga, tujuh mata di hadapan Chelsea yang menduduki tangga keenam dalam persaingan slot Liga Juara-Juara.The Red Devils dijadualkan bertemu Chelsea pada Sabtu ini dalam aksi krusial yang bakal menentukan kedudukan empat kelompok teratas."Kami berada di kedudukan yang baik. Keputusan malam ini mengecewakan, kami tidak mahu kalah dan tidak mahu keputusan pengadil memihak lawan, tetapi kami perlu terus melangkah ke hadapan," ujar Carrick.
Go to News Site