Sinar Harian
JASIN - Bukan sahaja dibuang kerja dan disiasat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemandu bas tular serta wanita yang duduk di atas ribanya ketika kenderaan sedang bergerak diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan susulan tindakan berbahaya itu.Difahamkan, pemandu bas berusia 36 tahun dan merupakan suami orang, manakala identiti wanita terbabit masih belum dikenal pasti.Ketua Polis Daerah Jasin, Lee Robert berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jasin telah membuka kertas siasatan susulan rakaman video berdurasi lapan saat yang tersebar di Facebook menunjukkan pemandu bas ekspres memandu sambil memangku seorang wanita ketika kenderaan berada di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Jasin."Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 12 April 2026 kira-kira jam 7.30 malam di susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan."Rakaman video berkenaan dikesan mula tular pada 13 April 2026 sekitar jam 5.30 petang," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.Robert berkata, perbuatan itu amat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.Beliau meminta kedua-dua individu terlibat tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jasin bagi membantu siasatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.Berdasarkan perkongsian di Facebook, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kulai, Johor, ketika kejadian dirakam.Susulan penularan itu, Sri Maju Group mengambil tindakan tegas dengan menamatkan perkhidmatan pemandu bas berkenaan.Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengambil keterangan terhadap pemandu bas berkenaan untuk tindakan lanjut.
Go to News Site