Sinar Harian
SHAH ALAM - Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan penularan satu imej palsu di media sosial yang mendakwa Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.Pejabat berkenaan dalam satu kenyataan menegaskan, dakwaan tersebut adalah fitnah jahat dan hasil manipulasi digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai."YB Menteri (Datuk Seri Mohamad Sabu) tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Ia adalah manipulasi digital yang tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan itu pada Selasa.Susulan penyebaran imej tular itu, satu laporan rasmi telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan terperinci serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.Pejabat Menteri turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak turut serta menyebarkan kandungan palsu yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak."Orang ramai diminta supaya sentiasa merujuk kepada saluran rasmi kementerian atau menteri bagi mendapatkan maklumat yang sahih sebelum mempercayai sebarang hantaran di media sosial," tegasnya.Tindakan pantas melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa adalah komitmen kementerian dalam mengekang penularan berita palsu yang semakin berleluasa di platform digital.
Go to News Site