Collector
Langkah mitigasi perlu diperkasa tangani ancaman perubahan iklim - Sultan Nazrin | Collector
Langkah mitigasi perlu diperkasa tangani ancaman perubahan iklim - Sultan Nazrin
Sinar Harian

Langkah mitigasi perlu diperkasa tangani ancaman perubahan iklim - Sultan Nazrin

IPOH - Langkah mitigasi perlu diperkasa secara menyeluruh bagi menghadapi ancaman perubahan iklim yang semakin serius, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.Baginda menegaskan, dunia kini berdepan peningkatan mendadak fenomena cuaca ekstrem seperti banjir dan kemarau yang semakin kerap berlaku, sekali gus memberi tekanan besar terhadap daya tahan infrastruktur sedia ada.Menurut baginda, berdasarkan data satelit NASA, kejadian bencana tersebut telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berbanding purata yang direkodkan antara tahun 2003 hingga 2020."Kita sedang berdepan fenomena ‘Hydroclimatic Whiplash’, iaitu peralihan drastik daripada musim kemarau yang gersang kepada banjir besar dalam tempoh masa yang singkat."Oleh itu langkah-langkah proaktif mitigasi banjir diutamakan demi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat."Pelaksanaan projek tebatan banjir serta penyelenggaraan sungai yang berfokus telah mengurangkan jumlah lokasi titik panas banjir di seluruh negeri daripada 332 lokasi pada tahun 2024 kepada 280 lokasi pada tahun 2025," titah baginda.Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.Menurut baginda, perubahan iklim yang semakin ketara bukan sahaja meningkatkan risiko berlakunya banjir besar, kemarau dan tanah runtuh, malah turut menyebabkan kerosakan harta benda serta perpindahan penduduk di kawasan terjejas.Baginda turut mengingatkan bahawa kos pemulihan akibat bencana yang tinggi akhirnya akan membebankan kewangan negara dan negeri sekiranya langkah pencegahan tidak diperkukuh."Alam sebenarnya sedang memberi maklum balas terhadap perbuatan manusia yang telah melampaui batas etika dan rasional ekologi."Penyelesaian sebenar bukan terletak pada penguatkuasaan undang-undang tetapi pada perubahan falsafah, daripada penguasaan kepada kebertanggungjawaban, daripada eksploitasi kepada penjagaan dan daripada keangkuhan manusia kepada kerendahan diri sebagai sebahagian daripada alam," titah baginda.Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan dukacita terhadap tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah mengenai bahaya sisa plastik, walaupun pelbagai usaha intervensi telah dilaksanakan.Sehubungan itu, baginda bertitah bahawa kerajaan negeri telah menetapkan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di semua premis perniagaan tetap serta kawasan sensitif alam sekitar, yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026."Kita tidak boleh lagi berlengah atau sekadar mengharapkan kesedaran timbul dengan sendirinya tatkala alam sekitar berada dalam keadaan semakin tenat," titah baginda.Baginda turut menyentuh usaha pemuliharaan biodiversiti sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.Menurut baginda, pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Malaya serta penubuhan Pusat Santuari Gajah Perak di Gerik merupakan antara inisiatif penting dalam menangani konflik antara manusia dan hidupan liar secara lebih berperikemanusiaan.Selain itu, hampir satu juta hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal di negeri ini terus dipelihara, di samping komitmen terhadap Pelan Induk Central Forest Spine sebagai kerangka strategik perancangan guna tanah yang lestari.

Go to News Site