Collector
Krisis Asia Barat isyarat perlu kurangkan kebergantungan bahan api - Sultan Nazrin | Collector
Krisis Asia Barat isyarat perlu kurangkan kebergantungan bahan api - Sultan Nazrin
Sinar Harian

Krisis Asia Barat isyarat perlu kurangkan kebergantungan bahan api - Sultan Nazrin

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik Asia Barat perlu dijadikan isyarat jelas kepada negara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.Baginda menegaskan, kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh atau sekadar menjadi pemerhati pasif, sebaliknya perlu bertindak proaktif dengan merintis langkah-langkah bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional tersebut.Menurut baginda, usaha membangunkan kemudahan serta menyediakan laluan praktikal kepada rakyat untuk beralih kepada tenaga alternatif perlu disegerakan, termasuk memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik serta sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro."Peralihan kepada tenaga alternatif hendaklah dirancang, dipercepatkan dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh."Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajib disegerakan," titah baginda.Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.Sultan Nazrin turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan konflik di Asia Barat yang berpotensi mencetuskan krisis tenaga global paling serius pernah dialami dunia.Menurut baginda, Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada tempias tersebut, termasuk berdepan ketidaktentuan harga minyak global serta jaminan bekalan tenaga."Ini dijangka memberi kesan rantaian kepada kos pengeluaran, harga barangan dan perkhidmatan, kuasa beli rakyat serta inflasi."Malah berkemungkinan beralih kepada tekanan fiskal, kerentanan perdagangan juga sentimen pelabur di samping risiko geopolitik yang kompleks," titah baginda.Sehubungan itu, baginda menegaskan bahawa negara perlu melakukan persiapan menyeluruh bagi menghadapi kemungkinan krisis global yang berpanjangan dengan memperkukuh kekuatan ekonomi domestik, memastikan keselamatan makanan serta mengekalkan kestabilan kewangan negara.Bahkan jelas baginda, dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan menganut pelbagai agama, perpaduan rakyat juga perlu dipelihara supaya negara tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan sensasi."Konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran bukan sekadar percaturan politik dan ketenteraan, bahkan membawa kesan besar terhadap kestabilan, keselamatan serantau, ekonomi dunia dan emosi umat manusia," kata baginda.Baginda turut menjelaskan bahawa unjuran awal pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2026 sekitar empat hingga lima peratus berkemungkinan perlu disemak semula sekiranya konflik berlarutan dan menjadi semakin serius.Menurut baginda, antara impak paling ketara yang sedang dihadapi dunia ketika ini ialah peningkatan kos logistik dan pengangkutan susulan faktor keselamatan, yang seterusnya memberi kesan kepada rantaian bekalan global.Dalam masa sama, Sultan Nazrin menitahkan semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, pemimpin masyarakat serta sektor swasta agar bersatu dan mencari titik pertemuan dalam mendepani cabaran berkenaan.Baginda menegaskan, ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh atau mengeksploitasi keadaan demi kepentingan politik sempit, sebaliknya perlu menunjukkan semangat kebersamaan dan kesungguhan dalam mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan negara."Negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan. Dalam usaha menangani krisis yang besar lagi kritikal ini, kerajaan dan rakyat perlu bersatu."Rakyat perlu difahamkan mengenai punca dan magnitud krisis yang sedang berlaku serta kesan dan implikasi terhadap kehidupan harian mereka, melalui pelan komunikasi berkesan, disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat biasa," titah baginda.Baginda juga menyeru rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam penggunaan elektrik secara terkawal serta usaha mengelakkan pembaziran, khususnya bahan makanan bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap subsidi kerajaan.

Go to News Site