Sinar Harian
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengecam penahanan pemilik akaun TikTok, Jorjet Myla susulan tindakannya mengkritik kerajaan.Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, penahanan tersebut juga turut mencerminkan pendekatan yang menekan kebebasan bersuara rakyat."Mengkritik kerajaan bukanlah satu jenayah, sebaliknya ia adalah hak asas dalam sesebuah negara demokrasi. Tindakan menahan individu hanya kerana pandangan politik yang berbeza menunjukkan satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat moden."Lebih mengecewakan, tindakan ini sering dikaitkan dengan penggunaan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga Akta Hasutan 1948, yang telah lama dikritik sebagai terlalu luas dan mudah disalahgunakan," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.Sinar Harian melaporkan, Jorjet Myla direman selama tiga hari atas dakwaan membuat satu hantaran video di TikTok meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Harris Idaham Rashid menerusi satu kenyataan media.Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, jika situasi tersebut tidak dibendung, ia dibimbangi akan mengakibatkan rakyat takut untuk bersuara, sekali gus boleh menghakis amalan demokrasi di negara ini."Ini sangat berbahaya kerana ia melemahkan semak dan imbang yang menjadi asas kepada demokrasi. Kerajaan sepatutnya menjawab kritikan dengan hujah dan keterbukaan, bukan dengan penahanan dan tekanan undang-undang."Adakah ini petanda sebuah kerajaan yang semakin hilang arah dan akhirnya akan jatuh tersemban? Jangan terkejut nanti, jika keadaan berbalik yang dahulu menggunakan undang-undang untuk menekan, akhirnya beramai-ramai pula terpaksa diiring ke pintu mahkamah selepas pilihan raya," ujarnya.Tambah beliau, begitulah lumrah kuasa, bila ia disalah guna, ia jarang kekal lama di tangan yang sama.
Go to News Site