Sinar Harian
KOTA BHARU - Taktik licik bapa dan anak mengedar ganja di sebalik perniagaan kedai buah dan jualan insurans perjalanan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang berjaya dihidu pada Sabtu.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dua beranak masing-masing berusia 45 dan 25 tahun itu diberkas dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira jam 1.15 petang.Menurut beliau, hasil risikan membawa kepada pemeriksaan lanjut di sebuah bangsal kedai buah yang dijadikan ‘topeng’ kegiatan, sebelum polis menemukan sembilan bungkusan plastik hitam berisi ganja mampat seberat kira-kira 40 kilogram."Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM120,000 dan dipercayai untuk pasaran luar Kelantan dengan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengaburi pihak berkuasa."Siasatan awal mendapati suspek pertama berperanan sebagai koordinator manakala suspek kedua bertindak sebagai ‘runner’," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.Beliau memberitahu, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal Mac lalu dan menggunakan pelbagai helah termasuk menjalankan perniagaan sah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.Ujarnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.Menurut Mohd Yusoff, rampasan ganja itu dianggarkan mampu menjejaskan sehingga 80,000 penagih jika terlepas ke pasaran.Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset bernilai RM789,278."Antara yang disita termasuk sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50, motosikal Aveta, wang tunai RM160,078, mata wang Thailand berjumlah 200,500 baht (RM24,800), empat utas jam tangan pelbagai jenama, 88 barangan kemas serta sembilan cincin perak."Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM909,278," katanya.Beliau memberitahu, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 April bagi membantu siasatan lanjut.Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Go to News Site