Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi memperkukuh pengurusan Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia, di sini.Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tersebut merangkumi antara lain kebajikan pemain yang menjalani latihan di kompleks berkenaan."Baik, saya sudah setuju untuk pastikan anak-anak (pemain) dijaga. Jadi peruntukan yang saya nak umumkan itu sebahagiannya untuk anak-anak yang ikut kolej latihan, makan minum, keselesaan, pakaian mereka."Keduanya tentunya perjalanan persatuan (PSM) dan ketiganya untuk akademi," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kompleks berkenaan.Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan.Kompleks itu yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru bernilai RM6 juta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk penginapan atlet, gimnasium, bilik pembelajaran serta gelanggang latihan di bawah satu bumbung.Sementara itu, Anwar berkata, Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan peruntukan RM1 juta untuk membantu PSM menjayakan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini, bulan depan.Kejohanan yang merangkumi saingan Premier dan Divisyen 1 dijadual berlangsung pada 16 hingga 23 Mei ini. - Bernama
Go to News Site