Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Inspektor polis yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan seorang anggota trafik cedera di Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada Jumaat lalu, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Liana Sulaiman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Selasa."Suspek direman mengikut Seksyen 307(2) Kanun Keseksaan, kertas siasatan akan dilengkapkan, sebelum dirujuk semula ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tiindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Pada Selasa, media melaporkan suspek merupakan seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor yang menghidap skizofrenia.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, lelaki itu kini sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.Fadil berkata, suspek berjaya ditahan selepas dikejar polis dari sekitar Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin di sini pada petang Isnin.Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 10.47 malam Jumaat, mangsa yang merupakan Konstabel Roslan Salleh, 27, sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan.Pemandu kenderaan terbabit bertindak melarikan diri tanpa berhenti untuk memberikan bantuan kepada mangsa.Mohd Zamzuri dilaporkan berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala selain sakit di bahagian rusuk.Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.
Go to News Site