Sinar Harian
KUALA LANGAT – Kegiatan memindahkan minyak hitam secara haram terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahan tujuh lelaki dalam serbuan Op Taring Landai di sekitar Segenting, Telok Panglima Garang di sini pada Isnin.Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan terhadap sebuah lori yang mencurigakan di kawasan Pulau Carey sebelum diekori ke sebuah lot.Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jafri Bidin berkata, operasi melibatkan Unit Gempur Marin (UNGGERIN), Unit Risikan Marin (URM) serta bot ronda PSC 15.Menurutnya, serbuan di lokasi pertama berjaya menahan lima lelaki tempatan yang sedang memindahkan minyak hitam dari lori berkenaan ke beberapa tangki simpanan."Pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 182,000 liter minyak hitam yang dipindahkan ke dalam sembilan skid tank dan lima IBC tank."Turut dirampas dua lori serta pelbagai peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM11.47 juta."Rampasan itu melibatkan sembilan skid tank bernilai RM900,000, minyak hitam (RM273,000), lima IBC tank (RM5,000), dua lori tanker (RM300,000) serta sebuah kapal besi bernilai RM10 juta," jelasnya.Menurutnya, susulan itu, satu lagi serbuan dilakukan di lokasi kedua di pinggir Sungai Langat dengan bantuan bot ronda PSC 15."Dalam serbuan tersebut, dua lelaki warga Indonesia ditahan di atas sebuah kapal."Kapten kapal berkenaan mengaku terlibat dalam aktiviti pemindahan minyak ke lokasi pertama," katanya.Jafri berkata, kesemua tujuh suspek kini ditahan bagi membantu siasatan."Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 serta Tred Perniagaan/Perindustrian, Majlis Perbandaran Kuala Langat 2007."Semua rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Selangor serta Majlis Perbandaran Kuala Langat untuk tindakan lanjut," katanya.Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah di laut dan pesisiran pantai kepada pihak Pasukan Polis Marin.
Go to News Site