Sinar Harian
REMBAU - Amerika Syarikat (AS) diminta memikirkan semula tindakannya mengepung Selat Hormuz kerana langkah tersebut boleh memberi kesan lebih buruk kepada seluruh dunia.Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bukan saja memberi kesan kepada bekalan tenaga, tetapi juga kesan jangka panjang lain termasuk ekonomi dan pertanian.Menurutnya, tindakan tersebut menimbulkan persoalan memandangkan sebelum ini mereka sendiri yang menggesa negara-negara Eropah memastikan laluan di selat terbabit dibuka."Merekalah (AS) yang melaungkan supaya negara-negara Eropah membuka Selat Hormuz, tapi sekarang mereka pula yang nak mengepungnya."Tak tahulah apa tujuan dan tiba-tiba sahaja Donald Trump telah mengatakan bahawa tentera Amerika akan mengepung selat itu dan tidak membenarkan sebarang kapal-kapal, baik kapal tangki ataupun kargo melalui kawasan tersebut," katanya ditemui pemberita selepas majlis Mini Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Zon Selatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, di sini pada Selasa.Beliau berkata demikian mengulas tindakan AS mengepung Selat Hormuz.Tambahnya, dunia tidak sepatutnya dijadikan sebagai 'tebusan' kepada peperangan yang tidak mempunyai sebarang faedah."Kita mintalah supaya pihak AS memikirkan semula tindakan mereka ini agar semua pihak berunding semula, yang penting ialah dunia jangan dijadikan sebagai 'tebusan' kepada peperangan yang tidak mempunyai apa-apa faedah ini," katanya.Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihak Iran juga diharap dapat memainkan peranan memastikan laluan perdagangan di selat berkenaan kekal terbuka demi kesejahteraan masyarakat dunia."Perang antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel itu antara mereka, namun dunia tidak boleh menjadi 'tebusan' kerana dunia akan mengadapi masalah lebih besar."Kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab dan memastikan laluan dagang di Selat Hormuz tidak disekat," katanya.Sebelum ini media melaporkan Trump menyatakan bahawa AS akan menyekat Selat Hormuz selepas rundingan yang diadakan di Pakistan untuk menamatkan perang dengan Iran menemui jalan buntu."Berkuat kuasa serta-merta, Tentera Laut Amerika Syarikat yang terbaik di dunia, akan memulakan proses menyekat mana-mana dan semua kapal yang cuba memasuki, atau meninggalkan Selat Hormuz," katanya.
Go to News Site