Sinar Harian
SHAH ALAM- Pemuda Pas menuntut agar laporan siasatan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mesti didedahkan sepenuhnya kepada rakyat tanpa berlengah.Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda Pas, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, jika wujud pelanggaran peraturan atau salah laku, Azam mesti digantung tugas serta-merta sementara tindakan susulan diambil.Menurut beliau, namun sekiranya laporan Bloomberg sebuah tuduhan, kerajaan mesti mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kredibiliti dan maruah kerajaan."Oleh itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang lebih luas, termasuk dakwaan kewujudan rangkaian 'mafia korporat' yang dikaitkan dengan SPRM."Pemuda Pas ingin mengingatkan bahawa kredibiliti, integriti dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan khususnya agensi penguatkuasa mesti diutamakan berbanding survival mana-mana individu."Selain itu, reformasi institusi dan tatakelola yang baik tidak tertegak hanya melalui slogan, namun mesti dibuktikan dengan tindakan," katanya menerusi Facebook pada Selasa.Sebelum ini, Azam dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.Tambah Tengku Muhammad Fakhruddin, jika kerajaan di pihak yang benar, mustahil kerajaan melengah-lengahkan tindakan undang-undang dengan dakwaan yang berat sebegini.Jelasnya, lebih mengecewakan, keadaan ini bercanggah dengan jaminan Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan mematuhi proses sewajarnya."Rakyat menerima kenyataan itu dengan harapan bahawa kerajaan benar-benar serius untuk membina budaya akauntabiliti. Namun hari ini, apa yang berlaku memberi gambaran yang sangat berbeza."Laporan siasatan dikatakan sudah siap, sudah dibentangkan kepada Kabinet dan sudah dirujuk kepada pihak berkaitan."Jadi mengapa rakyat masih dibiarkan tertanya-tanya, jika Azam Baki didapati tidak bersalah, tiada sebab untuk laporan itu terus disembunyikan. Jika sebaliknya, lebih tidak masuk akal untuk beliau terus kekal memimpin institusi pencegahan rasuah negara," ujarnya.Beliau berpendapat, isu ini bukan lagi sekadar melibatkan seorang individu tetapi menjadi ujian besar terhadap kredibiliti SPRM, kesungguhan kerajaan memerangi rasuah dan imej Malaysia di mata rakyat serta pelabur."Apabila laporan siasatan terhadap tokoh penting seperti ini pun gagal didedahkan secara terbuka, rakyat tentu akan mempersoalkan sejauh mana kerajaan benar-benar komited kepada reformasi," katanya.
Go to News Site