Collector
KSU gesa penjawat awam lebih inovatif hadapi realiti dunia baharu | Collector
KSU gesa penjawat awam lebih inovatif hadapi realiti dunia baharu
Sinar Harian

KSU gesa penjawat awam lebih inovatif hadapi realiti dunia baharu

SHAH ALAM – Penjawat awam perlu terus berdaya saing, kreatif dan memiliki daya cipta tinggi bagi mendepani realiti baharu dunia yang semakin mencabar.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, meskipun kedudukan Malaysia dalam daya saing global 2025 berada di tangga ke-23 daripada 69 negara serta di kedudukan ke-34 daripada 139 negara bagi Indeks Inovasi Global, peningkatan itu tidak boleh menyebabkan negara berada dalam zon selesa."Sejarah menunjukkan banyak tamadun dunia tersungkur akibat keselesaan."Dalam landskap global yang tidak menentu, Malaysia sebagai negara dagang kecil tidak terlepas daripada tempias krisis dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 di MBSA Convention Centre di sini pada Selasa.Shamsul Azri memberitahu, konflik di Asia Barat turut memberi kesan besar kepada ekonomi negara termasuk peningkatan harga minyak mentah dunia yang kini mencecah AS$101.9 setong berbanding AS$50 hingga AS$60 sebelum ini."Impaknya, perbelanjaan subsidi kerajaan meningkat mendadak daripada RM700 juta kepada RM2.9 bilion dan kini melonjak sehingga RM6 bilion sebulan," katanya.Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap meneruskan subsidi RON95 dan diesel demi melindungi rakyat daripada tekanan kos sarahidup.Mengulas lanjut, beliau berkata, keupayaan berinovasi kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan kritikal dalam perkhidmatan awam yang perlu bergerak lebih tangkas, adaptif dan berpandangan jauh.Katanya, antara pendekatan yang perlu diberi tumpuan termasuk penggunaan analitik data untuk meramal keperluan rakyat serta pendigitalan menyeluruh perkhidmatan kerajaan bagi mempercepat penyampaian."Semua kementerian dan jabatan telah diarahkan memulakan proses pendigitalan termasuk mesyuarat, memo dalaman dan urusan asas sebagai fasa pertama," katanya.Beliau turut mengarahkan laporan bulanan pelaksanaan pendigitalan dikemukakan oleh setiap Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah.Dalam pada itu, beliau memuji usaha penjawat awam yang mempamerkan pelbagai inovasi baharu sepanjang program itu berlangsung dan mencadangkan agar penyertaan mereka dipertandingkan dalam pertandingan inovasi akan datang.Shamsul Azri berkata, inovasi bukan sekadar penciptaan teknologi baharu tetapi meliputi penambahbaikan sistem, proses serta kesejahteraan rakyat."Nilai sebenar inovasi adalah sejauh mana ia memudahkan urusan rakyat, mempercepat penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kepercayaan kepada kerajaan," katanya.Beliau turut berkongsi kejayaan beberapa inisiatif kerajaan termasuk pemendekan tempoh permohonan bantuan bencana melalui sistem e-penghulu daripada satu jam kepada lima minit serta pengurangan tempoh kelulusan permit pembinaan di pihak berkuasa tempatan (PBT).Katanya, usaha itu berjaya meningkatkan pelaburan, peluang pekerjaan serta hasil kepada kerajaan tempatan."Sehingga Disember 2025, pelaksanaan projek di bawah inisiatif berkenaan melonjak kepada 122 peratus sekali gus membuktikan impak positif inovasi dalam sektor awam," tambah beliau.

Go to News Site