Sinar Harian
KOTA BHARU – Selepas lebih sedekad menunggu, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman difailkan sekali gus membuka kepada ruang perbicaraan penuh kes tersebut.Pada 2013 lalu Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar di sebuah sekolah maahad tahfiz di Kok Lanas ditemukan mati dalam keadaan tergantung di kawasan tandas.Ibu mangsa, Ruhani Hussin, 71, berkata, perbicaraan itu memberikan sinar baharu buat dia dan suami, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 81, dalam mendapat keadilan bagi membela kematian anaknya itu."Saya bersyukur selepas lebih sedekad tidak putus-putus berusaha sehingga hari ini. Saya inginkan keadilan. Terlalu lama saya menunggu keadilan. Hari ini Alhamdulillah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini pada Selasa.Menurut dia, penantian panjang itu bukan sesuatu yang mudah, namun keyakinan terhadap kebenaran membuatkannya tidak pernah berputus asa.Mahkamah Tinggi sebelum itu menolak permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman dan tuntutan yang difailkan oleh keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris.Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Mohd Rosli Yusoff selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.Sementara itu peguam yang mewakili pihak plaintif, Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin berkata, mahkamah memutuskan bahawa kes berkenaan bukanlah satu kes yang jelas dan nyata untuk dibatalkan secara ringkas, sekali gus membolehkan ia diteruskan ke perbicaraan penuh.Menurut beliau, plaintif-plaintif membuat tuntutan berkaitan dengan ketinggalan ataupun kecuaian defendan-defendan dalam menjalankan siasatan terhadap insiden kematian anak plaintif."Mahkamah turut mengambil kira bahawa siasatan kes berkenaan masih berjalan beberapa tahun selepas kejadian, termasuk selepas prosiding inkues bermula pada Mac 2016 serta perkembangan siasatan sehingga tahun 2018."Sehubungan itu, mahkamah berpendapat adalah tidak munasabah untuk menganggap tuntutan plaintif telah luput hanya berdasarkan tarikh kejadian pada Disember 2013," katanya.Tengku Shazuan memberitahu, permohanan defendan untuk membatalkan kes tersebut ditolak dengan kos ditetapkan pada akhir prosiding.Pihak plaintif diwakili barisan peguam terdiri daripada Surendra Ananth, Dr. Zulqarnain Lukman, Kelvin Ng Sin Huat, Lim Yin Shan dan Abby Si Xinyi, manakala defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb serta Siti Syuhada’ Alwi.Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 18 Mei depan, manakala perbicaraan penuh dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 April 2027.Sinar Harian 20 Ogos tahun lalu melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.Beliau berkata, polis tidak mempunyai halangan untuk berbuat demikian kerana kertas siasatan kes pada 2013 itu adalah lengkap.Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ditemui mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas.Mayatnya dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas tersebut.Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah. Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.
Go to News Site