Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Sebanyak 12,009 barang kemas yang disita dari kediaman mewah di Pavilion Residences dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor pada 17 Mei 2018 dianggarkan bernilai RM443,319,206.90.Asisten Komisioner Polis, Foo Wei Min berkata demikian ketika perbicaraan hari kedua kes saman AS$14.57 juta oleh syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL berkaitan lebih 40 barang kemas, terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu, di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.Wei Min yang bertugas di bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman berkata, jumlah ratusan juta itu diperoleh selepas pemeriksaan dan penilaian dilakukan pihak polis bersama pakar barang kemas pada 30 Mei hingga 25 Jun 2018.Berdasarkan pernyataan saksi, beliau yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Oktober 2001 berkata, perintah sitaan kemudian dikeluarkan untuk menyita semua 12,009 barang kemas itu.Semasa siasatan dijalankan, beliau berkata, Rosmah, 75, kemudian diminta hadir ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram untuk membantu siasatan berhubung harta yang dirampas termasuk barang kemas tersebut.Katanya, Rosmah selaku defendan dalam kes saman berkenaan menyatakan bahawa, beliau tidak tahu dan tidak mengarahkan sesiapa untuk memindahkan barang-barang dari kediamannya di Langgak Duta ke Pavilion Residences."Beliau juga tidak pernah menyatakan, harta-harta tersebut adalah miliknya serta memaklumkan tidak dapat mengecam semua harta berkenaan walaupun ditunjukkan gambar yang jelas," katanya.Semasa serbuan, beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman diketuai Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin telah membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominium di Pavilion Residences di sini berdasarkan waran geledah.Katanya, polis kemudian merampas barang kes antaranya 35 beg mengandungi duit pelbagai mata wang, enam beg (jam tangan), 25 beg (barang kemas), tiga beg (cermin mata), satu beg (dompet) dan 284 kotak beg tangan pelbagai jenama.Beliau kemudian memfailkan suatu permohonan pelucuthakan harta melibatkan barang-barang yang disita.Selepas itu, beliau yang juga saksi kelima bagi pihak ketiga berkata, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL untuk memeriksa barang kemas tersebut pada 11 Mac 2020.Katanya, hasil pemeriksaan mendapati hanya satu daripada 44 barang kemas milik syarikat tersebut.Menurutnya, barang kemas itu sebelum ini diserahkan kepada Rosmah, yang berjaya dikenal pasti daripada keseluruhan 12,009 barang kes yang dirampas."Barang kemas berkenaan kemudiannya diserahkan semula kepada pihak syarikat melalui wakilnya pada 15 September 2022."Pada 26 April 2022, Peguam Negara mengeluarkan arahan supaya 9,554 barang kemas dipulangkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya," katanya.Beliau berkata, pemulangan barangan dilaksanakan pada 28 hingga 29 April 2022 kepada wakil mereka, Datuk Akbar Abdul Gafoor dari Tetuan Azamuddin & Co.Sementara itu, pada 14 November 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta berkenaan di bawah Seksyen 56 Akta 613 dalam kes Pendakwa Raya melawan Obyu Holding Sdn Bhd.Susulan keputusan itu, sebanyak 2,431 lagi barang kemas dipulangkan kepada wakil Rosmah pada 9 Disember 2022 di Bank Negara Malaysia (BNM).Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah telah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.Ketua Polis Negara dan Kerajaan pula dinamakan sebagai pihak ketiga dalam kes saman tersebut.Prosiding di hadapan Hakim, Datuk Quay Chew Soon bersambung Rabu.
Go to News Site