Collector
Wang, barang kemas melimpah di lantai Pavilion Residences - Amar Singh | Collector
Wang, barang kemas melimpah di lantai Pavilion Residences - Amar Singh
Sinar Harian

Wang, barang kemas melimpah di lantai Pavilion Residences - Amar Singh

KUALA LUMPUR – Polis menemui terlalu banyak wang dan barang kemas sehingga ia melimpah keluar daripada 71 bagasi, 284 kotak beg tangan dan satu kotak plastik lutsinar semasa serbuan di kediaman mewah di Pavilion Residences dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor, pada 17 Mei 2018.Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata demikian ketika perbicaraan hari kedua kes saman AS$14.57 juta oleh syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL berkaitan lebih 40 barang kemas di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.Amar Singh berkata, pemeriksaan di unit residensi itu dibuat kerana terdapat perkara yang mencurigakan berhubung barang bukti berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Beliau yang juga saksi kedua bagi pihak ketiga berkata, ketika tiba di residensi berkenaan pada jam 6.30 petang, unit kediaman itu didapati kosong tanpa penghuni."Di salah satu bilik di unit tersebut, saya bersama pegawai dan anggota serbuan menemui 71 bagasi, satu kotak plastik dan lebih 284 kotak berisi beg tangan."Sebanyak 35 beg berisi wang tunai pelbagai mata wang, 25 beg (barang kemas), enam beg (jam tangan), tiga beg (cermin mata hitam) dan masing-masing satu beg berisi dompet, sarung dan barang kemas."Semua beg tersebut telah dibungkus dengan tergesa-gesa kerana saya dapati wang pelbagai mata wang berselerak di dalam beg tersebut malah barang kemas dibungkus menggunakan plastik."Pada mulanya, kami ingin mengira setiap barang tersebut namun sebaik membuka beberapa beg, pihak polis mendapati jumlahnya terlalu banyak."Beg berisi wang tunai dibungkus dengan longgar sampaikan isi kandungan melimpah keluar sehingga berterabur di atas lantai," katanya.Begitu juga dengan beg barang kemas, beliau berkata, ia penuh sesak sehingga menyebabkan pihak polis tidak dapat mengira dan menyenaraikan barang berkenaan.Pesara itu berkata, tidak dapat dibayangkan sekiranya beliau perlu menulis setiap satu barang kemas terbabit.Menjawab soalan Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin yang mewakili pihak ketiga, Amar Singh berkata, pihak polis yang membuat serbuan bukan pakar dalam menentukan semua barang itu merupakan emas atau berlian, bersifat tulen atau palsu.Horng Bin: Kenapa tidak kira terus barang berkenaan di unit kediaman itu?Amar Singh: Pertama, seperti yang saya katakan tadi, barang bukti itu terlalu banyak; kedua, premis itu tidak mempunyai penghawa dingin; ketiga, kami tidak mempunyai peralatan untuk menimbang dan mengukur barang terbabit dan akhir sekali, kami tidak mempunyai kepakaran untuk mengesahkan setiap barang bukti.Beliau yang bersara daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Disember 2018 kemudian memutuskan untuk membungkus beg-beg itu dengan pembalut plastik, sama seperti pembalut yang digunakan untuk membalut bagasi di lapangan terbang.Langkah itu katanya, dapat memastikan beg-beg itu selamat dan integriti barang-barang bukti itu dikekalkan."Hanya selepas semua barang bukti dimeterai, barulah kami membenarkan semua anggota beredar."Semua barang bukti itu kemudiannya dihantar ke lokap di Bukit Aman menggunakan lima ‘Black Maria’ yang ditutup rapat dan dikunci dengan selamat."Dalam perjalanan, setiap kenderaan diiringi kereta peronda dan pasukan kami mengikuti konvoi tersebut untuk memastikan barang bukti tiba di Bukit Aman dalam keadaan asal sebelum dihantar ke Bank Negara Malaysia," katanya.Selepas pengiraan dibuat beliau berkata, terdapat 1,041 barang kemas yang ditemui dalam beg yang ditandakan yang disimpan di bilik unit berkenaan.Menerusi pernyataan saksi, Amar Singh berkata, pegawai penyiasat pengubahan wang haram dan seorang wakil Global Royalty Trading SAL telah membuat pengecaman positif terhadap salah satu barang kemas itu.Katanya, satu barang kemas itu telah dikenal pasti dan dipulangkan kepada syarikat terbabit.Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah telah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.Prosiding di hadapan Hakim, Datuk Quay Chew Soon bersambung 2.30 petang.

Go to News Site