Sinar Harian
PUTRAJAYA - Empat lukisan bernilai tinggi termasuk karya Pablo Picasso yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini ditempatkan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.Keempat-empat karya seni itu bernilai kira-kira AS$198,125.00 (anggaran RM786,556.25).SPRM dalam kenyataan berkata, karya-karya seni itu merupakan sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1MDB hasil usaha berterusan kerajaan Malaysia melalui pendekatan bersepadu melibatkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa."Lukisan itu hasil karya artis terkenal dunia Joan Miró – Composition (1953); Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St Vincent, Montmartre (1934); Balthus – Etude pour femme couchée (1948) serta Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961)."Kesemua karya seni ini telah ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan yang ketat dan sedang melalui proses penstabilan persekitaran (acclimatisation) bagi memastikan pemeliharaan optimum sebelum proses pembukaan, pengesahan dan penilaian dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.SPRM berkata, pemulangan karya seni itu bukan sahaja melambangkan kejayaan berterusan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng, malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan amalan terbaik pemulihan aset di peringkat antarabangsa.Jelasnya, sehingga kini, Malaysia telah berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, iaitu bersamaan hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti."Pencapaian ini merupakan satu kejayaan signifikan dan sering dijadikan rujukan serta penanda aras di peringkat antarabangsa dalam usaha pemulihan aset hasil jenayah kewangan berskala besar," ujarnya.Kata SPRM, setiap pemulihan aset termasuk karya seni, membuktikan bahawa tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan walaupun melibatkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks."SPRM akan terus memperkukuh usaha pengesanan dan pemulihan aset secara agresif dan strategik bagi memastikan setiap aset yang diperoleh secara tidak sah dikembalikan kepada negara demi kepentingan rakyat," katanya.Terdahulu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju memulangkan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia melalui SPRM hasil kerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menerusi siri perbincangan di Washington DC dan New York pada Disember tahun lalu.
Go to News Site