Sinar Harian
SHAH ALAM – Ketika kerajaan menggalakkan rakyat berjimat cermat, terutama dalam penggunaan bahan api, masalah kesesakan lalu lintas di laluan Klang-Shah Alam dilihat sebagai batu penghalang utama.Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Sinar Harian, masalah kesesakan kini semakin meningkat dan menjadi lebih ketara serta kritikal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.Dengan peningkatan kos bahan api, situasi itu dilihat menjadi beban besar kepada pengguna kenderaan persendirian serta syarikat pengangkutan dan perdagangan yang terpaksa berulang-alik setiap hari di kawasan Lembah Klang.Seorang pekerja swasta, Ikhwan Abdullah, 40, yang menggunakan laluan tersebut setiap hari berkata, ketidaktentuan masa perjalanan memberi kesan kepada rutin kerja dan kehidupan harian."Perjalanan harian memang tidak menentu. Ada hari lebih lama daripada biasa, dan itu memberi kesan kepada jadual kerja serta masa rehat," katanya.Menurut seorang lagi pengguna, Mastura Osman, 38, beliau meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kos minyak apabila terperangkap dalam kesesakan yang berpanjangan."Bila lama dalam kesesakan, kos pun terasa naik sebab banyak masa enjin hidup ketika berhenti," katanya.Dalam pada itu, seorang pengguna lebuh raya yang menetap di Shah Alam, Mohammad Shaffi Adam, 27, berkata, akses semasa ke Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) masih kurang efisien kerana beliau perlu bergerak ke arah Kuala Selangor untuk memasuki laluan tersebut, terutama pada waktu puncak.Menurutnya, cadangan pembukaan sementara melalui pusingan U bagi laluan tersebut dilihat sebagai langkah praktikal yang boleh membantu melancarkan pergerakan trafik harian pengguna di kawasan berkenaan."Sebagai pengguna lebuh raya yang menetap di Shah Alam, pada masa ini saya perlu bergerak ke arah Kuala Selangor untuk mengakses laluan WCE, yang agak memakan masa terutama pada waktu puncak," ujarnya.Oleh itu, cadangan pembukaan sementara Seksyen 4 melalui laluan pusingan U itu dilihat sebagai satu langkah yang praktikal dan berpotensi memudahkan akses serta melancarkan perjalanan harian bagi pengguna.Walaupun bersifat sementara, inisiatif tersebut boleh memberi kelegaan dari segi aliran trafik, khususnya di kawasan Shah Alam, Klang dan sekitarnya sementara menunggu pembukaan penuh jajaran yang dirancang."Dalam masa yang sama, aspek keselamatan, aliran trafik dan pematuhan kepada garis panduan pihak berkuasa perlu terus diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan tersebut berjalan dengan lancar dan selamat untuk semua pengguna," ujarnya.Kesesakan tersebut telah menarik perhatian terhadap Jajaran Seksyen 4 yang masih belum dibuka kepada orang ramai, walaupun dilihat telah siap dari segi fizikal.Laluan sepanjang kira-kira 4.5 kilometer yang menghubungkan Lebuhraya Persekutuan dengan rangkaian utama WCE itu dilihat berpotensi menjadi laluan alternatif penting dalam mengurangkan tekanan trafik di koridor utama Lembah Klang, khususnya pada waktu puncak.Berdasarkan laporan akhbar sebelum ini, pusingan U sementara itu sudah memenuhi dan mematuhi keperluan keselamatan, malah pemeriksaan oleh pihak berkuasa juga telah dilakukan.Sementara itu, seorang penjawat awam, Aida Hayati Azis, 36, berpandangan kewujudan laluan alternatif berpotensi membantu mengurangkan tekanan trafik di kawasan berkenaan, walaupun bukan sebagai penyelesaian jangka panjang."Sekurang-kurangnya ia boleh memberi sedikit kelegaan kepada pengguna harian dan membantu mengurangkan kesesakan sedia ada walaupun bersifat sementara," katanya.Beliau menambah, kesesakan trafik yang berpanjangan turut memberi kesan kepada produktiviti serta keseimbangan kehidupan harian, khususnya bagi pengguna di kawasan bandar utama Lembah Klang.Sehubungan itu, adalah wajar bagi kerajaan membuat keputusan yang tepat demi kepentingan rakyat yang kini berdepan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.Ketika impak daripada krisis itu menjejaskan banyak sektor termasuk projek pembinaan infrastruktur, maka sebaiknya projek sedia ada seperti WCE diberikan perhatian yang sewajarnya.Malah, Kementerian Kerja Raya (KKR) menjangkakan lebih banyak projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara akan berdepan kelewatan disebabkan peningkatan harga bahan binaan serta kos diesel susulan krisis tersebut.
Go to News Site