Sinar Harian
KUANTAN - Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat membabitkan kematian seorang anggota tentera, Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh Sabtu lalu.Anggota tentera berpangkat prebet itu meninggal dunia selepas dua minggu bertarung nyawa, disyaki parah dipukul dalam kejadian di sebuah kem di Bentong.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, keputusan itu bagi melengkapkan siasatan termasuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.Menurutnya, pihaknya juga telah merakam keterangan 16 saksi termasuk enam anggota yang didakwa turut menjadi mangsa."Setakat ini, kita melengkapkan siasatan berdasarkan keterangan saksi sedia ada dan akan memanggil saksi-saksi baharu jika ada keperluan."Buat masa ini, kes dilihat 'straight forward' untuk diselesaikan dan tiada keperluan kepada jawatankuasa siasatan," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di sini pada Rabu.Suspek, anggota berpangkat koperal berusia 37 tahun sebelum ini didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.Bagaimanapun, kes itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa disahkan meninggal dunia.Terdahulu media melaporkan, Muhammad Amirul Raziq parah dipercayai dipukul suspek, disyaki tidak berpuas hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac lalu.Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama semasa kejadian itu.
Go to News Site