Sinar Harian
NILAI - Lelaki warga Indonesia yang ditahan bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran bayi lelaki yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah rumah di Labu pada 3 April lalu, direman dua hari bermula pada Rabu.Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu direman bermula 15 April hingga 16 April ini."Permohonan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan Mahkamah Majistret Seremban membenarkan suspek direman dua hari."Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan proses siasatan dilakukan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan tujuan melupuskan mayat," katanya kepada pemberita pada Rabu.Terdahulu media melaporkan, kehadiran seorang wanita warga asing di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pada Selasa bagi mendapatkan rawatan akibat pendarahan telah membongkar kes menyembunyikan kelahiran sorang bayi lelaki.Kejadian tersebut diketahui selepas polis menerima maklumat daripada seorang pegawai perubatan hospital mengenai kematian seorang bayi lelaki di sebuah rumah di kawasan Labu.Laporan tersebut dibuat selepas pegawai itu menerima seorang pesakit wanita warga asing berusia lingkungan 30-an yang mendapatkan rawatan dalam keadaan mengalami pendarahan serta komplikasi kesihatan.Hasil maklumat awal diperolehi, wanita terbabit dipercayai telah melahirkan anak kembar di rumah tanpa bantuan perubatan dan salah seorang daripadanya dilaporkan telah meninggal dunia selepas dilahirkan.Mayat bayi tersebut kemudiannya telah ditanam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau.
Go to News Site