Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir individu yang sanggup membelanjakan hingga RM10,000 bagi mengubah suai motosikal semata-mata untuk lumba haram akhirnya memakan diri apabila sebanyak 26 motosikal disita dalam operasi khas di Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) di sini pada Ahad.Operasi susulan aduan awam itu dijalankan Unit Falcon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pihak konsesi lebuh raya bermula jam 3 pagi.Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pemantauan mendapati kawasan sekitar Batu Muda, Greenwood dan Sri Gombak telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti lumba haram, khususnya pada hujung minggu.Menurutnya, antara aduan utama yang diterima ialah berkumpul hingga mengganggu ketenteraman awam, menggunakan lebuh raya sebagai litar perlumbaan haram serta bunyi bising ekzos yang diubah suai."Lebih membimbangkan, terdapat penglibatan remaja seawal usia 13 hingga 14 tahun yang mana kebanyakan ibu bapa didapati tidak menyedari penglibatan anak-anak mereka dalam aktiviti berisiko ini."Difahamkan, kos pengubahsuaian motosikal yang terlibat boleh mencecah sehingga RM10,000 semata-mata untuk tujuan perlumbaan haram," katanya dalam kenyataan.Beliau berkata, operasi selama dua jam itu bertindak memeriksa 80 individu dengan 283 saman dikeluarkan.Tambahnya, sebanyak 26 motosikal telah disita antaranya jenis Yamaha Y15ZR, Y16ZR, 135LC serta Honda RS150."Pemeriksaan mendapati, pelbagai kesalahan serius dilakukan antaranya menggunakan nombor pendaftaran milik kenderaan lain, ubah suai ekzos secara ekstrem, tiada brek belakang dan tiada nombor enjin," ujarnya.Selain itu, terdapat juga individu yang bertindak agresif dan cuba melarikan diri daripada tindakan penguatkuasaan.Jelasnya, tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan JPJ memandang serius aktiviti lumba haram kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa sendiri serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain."JPJ bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus mempergiatkan operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan Lebuhraya DUKE dan kawasan sekitarnya terus bebas daripada aktiviti lumba haram," ujarnya.
Go to News Site