Sinar Harian
KUANTAN - Seorang pensyarah lelaki kerugian RM97,400 gara-gara tindakannya menyerahkan maklumat bank bagi tujuan siasatan selepas didakwa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, ekoran tindakannya itu, mangsa mendakwa wang simpanannya telah dipindahkan melalui dua transaksi ke akaun tidak dikenali pada 7 dan 8 April lalu.Menurutnya, mangsa menyedari menjadi mangsa penipuan 'phone scam' selepas membuat semakan lanjut dengan pihak berkuasa sebelum tampil membuat laporan polis."Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada dua individu memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat insurans dan pegawai polis, 28 Mac lalu."Mangsa diperdaya sindiket penipuan itu kononnya tersenarai sebagai individu dikehendaki berkait kes penggubahan wang haram," katanya.Ashari berkata, mangsa telah diarah menyerahkan maklumat perbankan bagi tujuan siasatan."Bimbang berdepan tindakan undang-undang, mangsa akur dengan arahan tersebut apabila menyerahkan maklumat perbankannya kepada suspek sebelum menyedari wang simpanannya telah dipindahkan tanpa disedari ke akaun bank tidak dikenali."Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap sebarang panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan."Jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali."Buat semakan nombor akaun dan.nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan."Segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya syak telah ditipu," nasihatnya.
Go to News Site