Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Kerajaan digesa serius dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat terutama membabitkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan dan bahan api.Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini, kerajaan Pusat perlu bertindak pantas dan berkesan bagi mengawal tekanan yang dihadapi rakyat jelata.Menurutnya, tindakan segera amat penting bagi memastikan masalah ekonomi yang melanda tidak terus melarat sehingga menjejaskan kelangsungan hidup kumpulan sasar."Masih ada banyak perkara yang belum diselesaikan. Dalam keadaan sukar, tindakan segera amat penting supaya masalah dapat dikekang dengan cepat," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersatu Terengganu di sini pada Rabu.Hadir sama, Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris; Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.Muhyiddin berkata, pelan intervensi berkaitan kenaikan harga bahan api termasuk diesel perlu dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan ia memberi kesan langsung kepada golongan B40, petani, pekebun kecil serta nelayan.Beliau turut mempersoalkan ketiadaan bantuan signifikan yang mampu meringankan beban golongan tersebut ketika realiti ekonomi menunjukkan tanda-tanda belum pulih sepenuhnya."Rakyat tidak henti-henti mengadu. Banyak cerita yang kita dengar menunjukkan kesukaran mereka, terutama apabila bantuan dilihat tidak mencukupi untuk meringankan beban dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini."Malah, Perdana Menteri sendiri meramalkan bahawa situasi ini tidak akan membaik dalam masa terdekat. Jadi, apakah bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada kumpulan sasar kita?" soal beliau.Mengulas mengenai isu harga bahan api, Muhyiddin menyifatkan kenaikan harga diesel sebagai sesuatu yang menghairankan memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak."Adalah menghairankan apabila Malaysia mengalami kenaikan harga yang jauh lebih tinggi berbanding negara yang bukan pengeluar. Rakyat berhak mengetahui apakah tindakan sebenar kerajaan atau sekiranya ada perkara yang tidak dijelaskan secara telus kepada umum," ujarnya.Mengimbas kembali pengurusan krisis ketika pandemik Covid-19, beliau menjelaskan bahawa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dahulu sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat melalui bantuan yang pantas dan berkesan.Jelas beliau, pencapaian lalu perlu diambil sebagai peringatan agar kerajaan masa kini perlu lebih proaktif dalam mendepani krisis ekonomi."Kita terbuka dan berbesar hati sekiranya kerajaan Pusat mahu mendapatkan pandangan daripada pembangkang dalam menangani krisis semasa demi pembelaan sewajarnya kepada rakyat," katanya lagi.
Go to News Site