Sinar Harian
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menyita 14,870 liter diesel dianggarkan bernilai lebih RM86,000 hasil pemeriksaan Ops Tiris 4.0 di sebuah tapak pembinaan di Mukim Penor di sini, Isnin lalu.Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pahang, Md Zaki Abd Samad berkata, hasil siasatan awal mendapati minyak diesel dalam tangki skid tersebut dipercayai digunakan untuk operasi jentera pembinaan.Menurutnya, turut disita tangki skid, hos dan flow meter, kunci dan dokumen berkaitan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan lebih RM96,000."Tindakan itu diambil selepas pihak syarikat gagal mengemukakan permit penyimpanan yang sah bagi lokasi berkenaan sebaliknya memiliki permit di lokasi lain."KPDN Pahang telah mengambil tindakan sitaan itu di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 122]."Kes itu kini dalam siasatan lanjut bagi tindakan perundangan seterusnya," katanya melalui kenyataan pada Rabu.Md Zaki berkata, semua pihak sama ada individu atau syarikat berkaitan diingatkan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan."Mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961."Jika sabit kesalahan, bagi pertubuhan perbadanan denda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta."Bagi individu pula, dendanya tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.Beliau berkata, semua pihak diingatkan agar mematuhi sepenuhnya syarat permit dan lesen yang ditetapkan serta tidak menyalahgunakan kemudahan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan.Katanya, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas sistem subsidi kerajaan.
Go to News Site